Keldai dadah Sarawak tumpas - Utusan Malaysia

Keldai dadah Sarawak tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Cubaan dua keldai dadah menyeludup syabu seberat 11.6 kilogram dianggarkan bernilai RM440,000 gagal selepas mereka ditahan polis dalam operasi berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini baru-baru ini.

Suspek pertama berusia 22 tahun ditahan di pintu pelepasan domestik KLIA2 selepas pemeriksaan ke atas bagasinya menemukan lima bungkusan dadah dalam produk teh Cina seberat 5.2 kilogram bernilai RM200,000.

Susulan penahanan itu, seorang lagi suspek berusia 19 tahun ditahan polis yang menemukan enam bungkusan sama mengandungi dadah seberat 6.3 kilogram bernilai RM240,000 di dalam bagasinya.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek pertama kali melakukan penyeludupan itu dan dipercayai daripada sindiket yang sama berpusat di Miri, Sarawak.

“Kami mendapati mereka diupah RM600 per kilogram dadah yang diseludup. Bekalan dadah tersebut dipercayai diperoleh sekitar Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Zulkifli berkata, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.

Katanya, sindiket tersebut dipercayai cuba mengambil kesempatan dengan situasi negara yang sedang berdepan pandemik Covid-19.

“Sindiket ini mungkin beranggapan pihak berkuasa sudah melonggarkan kawalan di pintu masuk utama lapangan terbang.

“Polis sentiasa memperketatkan kawalan dengan meletakkan anggota khususnya di pintu pelepasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya