PADANG BESAR : Rata-rata penoreh getah di sini kurang bersetuju dengan saranan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man agar pekebun kecil getah mengusahakan tanaman baharu seperti sayur sebagai sumber pendapatan tambahan.
Sebaliknya, mereka mahu kerajaan membantu menaikkan harga komoditi tersebut bukannya memberi bantuan benih sayur atau induk ternakan.
Seorang penoreh, Zainal Rejab, 37, berkata, hasil getah adalah salah satu sumber utama mereka sejak sekian lama dan dalam masa sama mereka juga ada melakukan pekerjaan lain bagi menambah pendapatan khususnya ketika harga getah jatuh.
Bapa kepada dua orang anak itu berkata, dalam setahun, para penoreh boleh menoreh sekitar enam bulan sahaja dan selebihnya atas faktor hujan yang menyebabkan mereka tidak dapat turun ke kebun.
“Kalau harga getah seperti sekarang ini (RM1.80 sekilogram) bagaimana kami hendak cari makan, tambahan pula sekarang musim hujan. Bila harga getah ini naik, kami mampu mendapat lebihan pendapatan berbanding kebiasaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Azlan menyarankan pekebun kecil getah yang terhimpit berikutan kejatuhan harga komoditi tersebut agar mengusahakan tanaman baharu sebagai sumber pendapatan tambahan.
Azlan dilaporkan berkata, langkah tersebut sebagai alternatif sampingan peneroka ketika berhadapan situasi harga getah yang tidak menentu selain berpesan supaya golongan berkenaan tidak terlalu bergantung kepada hasil getah semata-mata, sebaliknya perlu mencari inisiatif lain menjana pendapatan.
Sebelum itu, Utusan Malaysia melaporkan keluhan para peneroka getah dari Felda Chuping di sini selepas harga komoditi itu menjunam sehingga paras di bawah RM2 sekilogram.
Tambah Zainal, jika semua peneroka mengusahakan tanaman sayur secara tidak langsung akan menyebabkan lambakan sumber berkenaan di pasaran kerana pada masa ini sudah banyak pengusaha sayur.
“Harapan utama kami adalah berharap kerajaan menaikkan harga getah. Dengan langkah itu dapat membantu para pekebun kecil getah ini. Kalau semua dah tanam sayur, maka harga sayur pun akan jadi murah kerana akan jadi lambakan di pasaran. Saya tidak lihat cadangan itu membantu,” katanya.
Seorang lagi penoreh, Rosdi Che Hassan,42, pula berkata, tidak sesuai mereka perlu menggantikan getah dengan tanaman lain khususnya sayur-sayuran yang pulangannya juga dilihat tidak setimpal.
“Apa yang penting sekarang, satu kaedah perlu dicari oleh kerajaan bagaimana untuk meningkatkan harga pasaran getah ini. Jika harga getah naik, kami pun tumpang senang,” katanya.