KUALA LUMPUR: Kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) tidak akan ditarik walaupun pelarian terlibat dalam kes jenayah.
Jurucakap UNHCR berkata, menjadi tanggungjawab pihaknya melindungi setiap pelarian, malah mereka tidak akan dihantar pulang kerana tindakan itu membahayakan nyawa mereka.
Menurut agensi itu, pelarian hanya akan hilang ‘keistimewaan’ kad pelarian jika terlibat dalam aktiviti pengganas.
“UNHCR akan memastikan mereka menjalani proses hukuman berdasarkan undang-undang negara ini tetapi selagi seseorang yang berstatus pela-rian, dia masih memerlukan perlindungan antarabangsa.
“Sudah tentu UNHCR akan memastikan semua pelarian dan pencari suaka menghormati undang-undang negara di mana sahaja mereka meminta perlin-dungan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut UNHCR, setiap individu yang meminta perlindungan, berhak menikmati suaka dari negara lain seperti termaktub di bawah Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) 1948 disokong oleh Konvensyen Pelarian 1951.
Setiap pelarian akan ditemubual dan disiasat latar belakang mereka sebelum diberikan kad UNHCR berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sehingga kini, seramai 101,320 pelarian Rohingya berdaftar di bawah UNHCR.
Setiap pelarian tidak berhak menuntut penempatan semula kerana keutamaan kepada mereka yang memerlukan perlindungan.
Penempatan semula bergantung kepada negara ketiga dan dari 2008 hingga Jun lalu, seramai 88,500 pelarian telah dihantar ke negara ketiga.
Utusan Malaysia mendedahkan kira-kira 86,155 pelarian Rohingya di negara ini hampir menyamai bilangan penduduk Putrajaya.
Namun hanya 317 orang yang diberikan penempatan di negara ketiga dalam tempoh enam bulan tahun ini sedangkan Malaysia cuma penempatan sementara.