Jumpa mayat wanita tepi jalan, 9 lelaki ditahan - Utusan Malaysia

Jumpa mayat wanita tepi jalan, 9 lelaki ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menahan sembilan lelaki termasuk tiga warga asing susulan penemuan mayat wanita  di tepi jalan di Jalan Pandan Indah 1/16 Pandan Indah, Ampang Jaya dekat sini malam tadi.

Mayat wanita warga asing berusia 28 tahun itu ditemui pada pukul 8.30 malam dan dihantar ke Hospital Ampang. Pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada leher, tulang selangka kanan serta beberapa bahagian tubuh lain.

Satu sumber berkata,  sebelum ditemui mati, mangsa dikatakan minum dengan tiga lelaki di sebuah pusat karaoke tetapi didakwa  tiba-tiba pengsan dan mati. 

“Ketiga-tiga suspek panik lalu membuang mayat wanita itu di tepi jalan.  Bagaimanapun, polis sedang menyiasat punca sebenar kematian wanita tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, pihaknya menahan sembilan lelaki  termasuk tiga warga asing  bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat tersebut.

Kata beliau, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di tepi jalan dengan keadaan lengkap berpakaian dan dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di situ.

“Semua yang ditahan berusia  20 hingga 49 tahun. Mereka ditahan di sekitar Selangor di Seri Kembangan (Serdang), Sea Park (Petaling Jaya) dan Sungai Jarum (Kuala Langat),” kata beliau.

Noor Azmi berkata, siasatan lanjut mendapati empat daripada suspek  pernah ditangkap atas kesalahan dadah.

Mayat wanita itu dipindahkan ke  Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan dilakukan   ujian Covid-19. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya