Gagal seludup kayu merah RM4.6 juta - Utusan Malaysia

Gagal seludup kayu merah RM4.6 juta

JOHARI Alifiah menunjukkan rampasan kayu merah di Dewan Serbaguna Pejabat Kastam Dengkil, Selangor hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Diikrar sebagai komponen alat ganti kenderaan, modus operandi penyeludup kayu merah itu sia-sia apabila dikesan Unit Siasatan Frod Perdagangan (USFP) dan Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Kayu merah sebanyak 283 batang seberat 8,000 kilogram bernilai kira-kira RM4.6 juta itu dikesan unit tersebut ketika melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Klang, dekat sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM, Datuk Johari Alifiah berkata, kontena itu tiba di pelabuhan tersebut pada 8 Julai lalu dan pemeriksaan mendapati tiada pengikraran borang import (K1) ke atas dagangan tersebut.

“Pemeriksaan ke atas Dokumen Perkapalan dan Daftar Muatan Kapal (K4) menunjukkan dagangan dalam kontena tersebut diikrarkan sebagai karburator dan chamber kenderaan.

“Buat masa ini, seorang suspek dikenal pasti,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Difahamkan, kayu merah yang dipercayai diseludup dari negara India itu banyak digunakan untuk tujuan perubatan tradisional.

Johari berkata, kayu merah merupakan antara dagangan yang disenaraikan di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (Cites).

“Di bawah senarai tersebut, sebarang pemerdagangan kayu merah mensyaratkan setiap pengeksportnya perlu memiliki sijil yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara pengeksport.

“Selain itu, kayu ini juga tersenarai di bawah Jadual Ketiga kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang mana pengimportannya tertakluk kepada permit import dikeluarkan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB),” ujarnya.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana disyaki melakukan kesalahan terlibat dalam mengimport barang larangan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya