PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan hari ini melancarkan program Fish Station bagi mempromosi, pemadanan perniagaan, demonstrasi serta inovasi produk-produk berasaskan perikanan.
Program tersebut dilihat selaras dengan hala tuju kementerian bagi meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pihaknya berharap program tersebut dapat merancakkan penglibatan pelaburan swasta dalam sektor pertanian.
“Program Fish Station ini juga dapat menambah baik ekosistem industri pertanian bagi menyokong pemodenan pertanian, pelaburan sektor swasta dan aktiviti pengembangan sektor tersebut.
“Ia juga mampu mengukuhkan struktur organisasi jabatan dan agensi-agensi di bawah MAFI secara menyeluruh,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Perikanan dan Fish Station di sini hari ini.
Yang turut hadir pada majlis itu adalah kedua-dua timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Datuk Che Abdullah Mat Nawi
Jelas Dr. Ronald, terdapat empat pengisian yang diterapkan dalam program tersebut.
Antaranya promosi dan jualan produk perikanan, inovasi, demonstrasi peralatan perikanan serta aktiviti aquarius.
Persidangan itu juga merupakan platform para pegawai kanan setiap peringkat untuk berinteraksi antara satu sama lain selain bertukar-tukar pandangan.
Selain itu, hala tuju 10 tahun akan datang bagi jabatan juga dibentang selain lapan perkara penting Jabatan Perikanan turut dibincangkan. – UTUSAN