KUALA LUMPUR: Empat lelaki ditahan polis selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol ditetapkan dalam Op Alkohol dan Pencegahan Jenayah di sekitar Petaling Jaya.
Kesemua suspek berusia antara 37 dan 59 tahun itu ditahan dalam operasi bermula kelmarin hingga awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap seramai 755 pengguna jalan raya dan 641 kenderaan dalam operasi tersebut.
Menurutnya, selain itu, seramai 48 individu turut disaman atas pelbagai jenis kesalahan.
“Sebanyak 17 daripadanya disaman di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan atas kesalahan memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen yang sah.
“Operasi ini dijalankan bagi membanteras dan mencegah pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol sekali gus membahayakan keselamatan orang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Nik Ezanee, pihaknya memandang serius terhadap isu tersebut kerana terdapat lagi individu yang masih berdegil melanggar peraturan jalan raya.- UTUSAN ONLINE