BATU PAHAT: Gara-gara ingin mencuba laluan baharu, dua lelaki sesat ketika mendaki Bukit Soga, Taman Bukit Perdana, di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Mohd. Fauzi Md. Nor berkata, bomba menerima panggilan mengenai kehilangan mangsa, Lim Chen Eng dan Tan Woam Min masing-masing berusia 48 tahun pada pukul 9.25 malam.
“Sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan itu, anggota bomba bersama tujuh anggota dengan dua buah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, didapati dua mangsa masih berada di puncak bukit. Kami kemudian bertindak mengesan lokasi terakhir sebelum berjaya menemukan mereka pada pukul 10.20 malam dan dibawa keluar dengan selamat.
“Difahamkan dua mangsa yang beralamat di Batu Pahat ini berpengalaman dan banyak kali mendaki bukit sama, namun gagal mencari jalan keluar selepas ingin mencuba laluan keluar baharu di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mohd. Fauzi berkata, salah seorang mangsa sebelum itu telah menghubungi rakannya yang lain bagi memaklumkan mereka telah sesat dan meminta bantuan.
“Rakan mangsa kemudian bertindak menghubungi pihak berkuasa berikutan hari semakin gelap dan kedua-duanya masih gagal keluar dari bukit berkenaan.
“Mangsa mengakui pertama kali mencuba laluan baharu di bukit berkenaan namun tidak sangka gagal menemui jalan keluar. Kedua-dua mangsa berada dalam keadaan lemah namun masih stabil,” katanya. – UTUSAN