Dua lelaki rugi hampir RM28,000 - Utusan Malaysia

Dua lelaki rugi hampir RM28,000

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Akibat terlalu percaya terhadap pelaburan menawarkan pulangan lumayan, dua lelaki terpaksa berputih mata apabila masing-masing kerugian RM24,180 dan RM3,618 selepas diperdaya oleh sindiket berkenaan.

Dalam kejadian pertama, seorang pengurus projek berusia 28 tahun dari daerah ini telah berkenalan dengan wanita bernama Hema Lashini ketika melayari laman Facebook pada Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, sejurus perkenalan itu, nombor telefon mangsa dimasukkan dalam kumpulan sembang WhatsApp. 

“Pelaburan tersebut memerlukan mangsa membeli syer yang bernilai RM130 seunit dan akan dilaburkan di luar negara, namun sehingga hari ini wang keuntungan tidak diperoleh.

“Kemudian, pada Mei lalu, mangsa berkenalan pula dengan lelaki bernama Aswin yang menawarkan pelaburan sama, tetapi tiada pulangan,” katanya sambil memaklumkan mangsa kerugian total RM24,180 menerusi pelaburan tersebut.

Dalam pada itu, Mohd. Wazir menerusi kenyataan kepada media di sini hari ini menambah, seorang ejen pengangkutan di daerah ini turut menjadi mangsa pelaburan tidak wujud yang menggunakan nama syarikat broker berlainan.

Mohd. Wazir berkata, mangsa yang kerugian RM3,618 turut terpengaruh selepas terbaca iklan pelaburan yang dimuat naik di laman Facebook pada Jun lalu.

Katanya, sejurus mangsa klik iklan tersebut di Facebook, nombor telefonnya disambung secara automatik kepada aplikasi WhatsApp untuk berurusan dengan seorang individu tidak dikenali.

“Apabila disambung, pengadu diterangkan mengenai pelaburan tersebut. Terdapat empat pelan pelaburan dan pengadu berminat menyertai pelan A dan C yang menjanjikan untung RM4,500 dan RM14,200 dalam masa dua hari.

“Selepas menyedari tertipu oleh pelaburan yang tidak wujud, kedua-dua mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN