UKIT KAYU HITAM: Urus niaga tukar barang melibatkan daun ketum dan dadah oleh penyeludup Malaysia-Thailand antara taktik dikenal pasti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain ganja, syabu turut menjadi barang dagangan popular bagi mengaut keuntungan.
Pegawai Memerintah 3 Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rosman Kasman berkata, pihaknya sebelum ini berjaya menahan penyeludup yang menggunakan taktik berkenaan.
“Daun ketum dari Kedah dan Perlis berkualiti tinggi dan mempunyai pasaran tinggi. Kita pernah tangkap penyeludup hantar daun ketum dan dibalas ganja atau daun ketum dibalas dengan syabu.
“Malah, kita tidak menolak kemungkinan ada yang tukar dengan senjata api. Jadi kita akan terus melakukan risikan dan meningkatkan rondaan keselamatan,” katanya di Markas Taktikal Briged Utara sempena Op Benteng di sini baru-baru ini.
Op Benteng diaktifkan sejak Mei lalu di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). Turut terlibat, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) .
Rosman tidak menolak adanya tali barut sama ada melibatkan orang kampung dan anggota PDRM yang memberikan maklumat kepada penyeludup.
“Secara logik, kita tidak menolak ada tali barut. Bagaimana nak bawa masuk jika maklumat tiada?
“Mereka (penyeludup) mencari elemen setiap sudut sama ada di lurah atau di tebing.
“Asalkan boleh bergerak, mereka akan gunakan untuk hantar daun ketum,” ujarnya.
Tambahnya, setakat ini lapan anggota dibuang kerja, manakala dua diturunkan pangkat selepas bersekongkol dengan penyeludup.