KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menyerahkan urusan berkenaan pandemik Covid-19 kepada individu yang sepatutnya.
Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, meskipun Perikatan Nasional dilihat sangat berminat menempatkan ahli politik dalam badan-badan kerajaan, namun soal pengurusan wabak tersebut diuruskan oleh ahli profesional.
Bekas Perdana Menteri itu mengucapkan tahniah kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana dilihat relevan dalam isu berkenaan.
“Saya dapati bahawa kerajaan amat berminat untuk tukar ahli profesional dengan ahli politik. Sudah 30 badan yang ditukar untuk memberi pendapatan yang tinggi kepada ahli politik.
“Tetapi dalam pengurusan pandemik ini, kerajaan entah bagaimana telah membenarkan ahli profesional mengurus segala masalah berbangkit.
“Pengurusan dilakukan dengan cara yang bijak, cukup ilmu pengetahuan dan sebab itulah kita dapati bahawa pandemik ini dapat dikurangkan dalam jangka masa yang agak pendek,” katanya dalam sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.
Sementara itu, dalam sesi yang sama, Dr. Mahathir turut menyelar sikap media asing yang mudah melemparkan tuduhan ke atas Malaysia yang kononnya bersikap kasar kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Beliau berkata, pendatang asing merupakan masalah di seluruh dunia apabila kelompok tersebut berhijrah dan mencari penghidupan baharu di negara maju.
“Walaupun kita memberi layanan yang baik tetapi ada juga kes yang ternampak seolah-olah kita tidak bertimbang rasa.
“Saya sedar bahawa PATI menimbulkan banyak masalah, terutama ketika wabak COVID-19. Mereka takut memperkenalkan diri kerana akan dihantar balik,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu.
Meskipun begitu, jelasnya, kerajaan tidak sepatutnya mengambil tindakan keras terhadap wartawan Al Jazeera.
“Adalah lebih baik jika kita sampaikan laporan berkenaan dengan layanan kepada pendatang asing,” ujarnya.