Covid-19: 2,897 individu diburu polis - Utusan Malaysia

Covid-19: 2,897 individu diburu polis

Covid
ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mulai Isnin ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menangkap dan mendakwa di mahkamah 2,897 individu yang masih belum tampil menjalani ujian saringan kedua Covid-19 pada hari ke-13 kuarantin ken­diri.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, individu terbabit bagaimanapun diarahkan untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat untuk melakukan ujian saringan kedua.

Pegawai Kementerian Kesihatan bersama anggota PDRM akan membuat pemeriksaan mengejut untuk memastikan semua yang terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP)ditetapkan,” katanya dalam la­poran harian perkembangan terkini Covid-19 di sini semalam.

Mengenai kuarantin wajib bermula semalam, Ismail Sabri berkata, seramai 319 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka telah ditempatkan di empat Ste­sen Kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

Kata Ismail Sabri, mereka tiba dari 12 negara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), China dan Australia.

Keputusan untuk membuka semula Stesen Kuarantin untuk perintah kuarantin wajib 14 hari diambil setelah mengambil kira peningkatan kes import dan ketidakpatuhan SOP yang menyebabkan peningkatan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, seramai 9,600 individu masih menjalani proses kuarantin wajib di rumah masing-masing,” ujarnya. 

Semalam Ismail Sabri memberitahu, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berlangsung bermula 10 Jun sehingga 20 Julai lalu, sebanyak 22,402 individu telah diperintahkan kuarantin kendiri dan 78 lagi dibawa ke hospital.

Mereka ini merupakan 22,480 individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, pada 20 Julai, sebanyak 403 rakyat telah pulang ke tanah air melalui KLIA dan KLIA2 dari United Kingdom, Indonesia, Qatar, Singapura, Pakistan, Jepun, China dan Thailand.

“Kesemua 403 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka,” katanya.

Kebelakangan ini, penularan Covid-19 menunjukkan peningkatan di peringkat global dan pada 20 Julai lalu, lebih 14 juta kes positif Covid-19 telah dilaporkan di seluruh dunia termasuk 603,000 kes kematian.

Sejak tiga hari lepas, kes baharu yang dilaporkan di seluruh dunia melebihi angka 200,000 orang sehari.

Ini juga menyumbang kepada peningkatan jumlah kes di Malaysia apabila rakyat pulang dari luar negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN