SHAH ALAM: Polis minta diberi masa untuk mengenal pasti dua wanita disyaki menconteng mural beberapa pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Taman Cahaya Alam di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian bagi mengesan pelakunya.
“Beri masa kepada polis untuk menyiasat perkara ini dan diharap mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan,” ” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 504 / 427 Kanun Keseksaan yang akan memperuntukkan hukuman maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pelaku diminta menghubungi Asisten Superitenden Yong Meng Heng di talian 019-575 3399 bagi membantu siasatan.
Mural beberapa wajah pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong diconteng dengan semburan cat merah dan perkataan tidak senonoh.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan sangat dukacita dengan kejadian vandalisme tersebut.