PUTRAJAYA: Senator Dewan Negara, Ras Adiba Radzi menyarankan agar orang ramai menjadikan bahasa isyarat sebagai bahasa yang ketiga dalam meraikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terutamanya mereka yang memiliki kekurangan dari segi pendengaran.
Jelasnya, usaha tersebut dapat membantu masyarakat lebih memahami golongan OKU serta mudahkan urusan mereka seharian.
“Saya sendiri mempunyai ahli keluarga yang mempunyai masalah pendengaran dan saya banyak belajar bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengannya walaupun pada ketika itu saya masih normal.
“Saranan ini adalah lebih kepada memberi kesedaran terhadap orang ramai terutamanya sedari kecil, lama kelamaan mereka akan dapat memahami golongan OKU,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah Ras Adiba, mereka yang belajar bahasa isyarat ini apabila menamatkan pengajian contohnya boleh bekerja sebagai penterjemah yang mana kini amat diperlukan
“OKU pendengaran juga sukar menerima pekerjaan yang lebih baik walhal jika di luar negara ramai di antara golongan itu memiliki kerjaya yang baik malah ada yang terjun ke dunia profesional, kita hari ini harus adil terhadap mereka,” katanya.
Perkara tersebut turut dipersetujui Guru Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Inderapura, Kulai, Johor, Hamzah Othman yang menyatakan ia dapat membantu memahami golongan OKU pendengaran sedari kecil.
“Ramai ibu bapa sukar menangani anak mereka yang mengalami masalah pendengaran kerana kurang mengambil tahu akan bahasa isyarat.
“Ada juga yang asalnya normal namun mengalami masalah pendengaran atas sebab-sebab tertentu. Jika mempelajari bahasa isyarat ini sudah menjadi kebiasaan pastinya jika sesuatu yang berlaku kita akan lebih bersedia,” ujarnya.
Hamzah yangg hampir 40 tahun mengabdikan diri mendidik golongan OKU pendengaran itu turut menyarankan agar masyarakat jangan lagi skeptikal untuk mempelajari bahasa isyarat.
“Kita boleh ibaratkan seperti mempelajari bahasa-bahasa lain, seperti belajar bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin ia bukanlah suatu yang mustahil malah mungkin akan menjadi suatu keperluan di kemudian hari kelak.
Bagi Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Khas, Jamilah Kadir mempelajari bahasa isyarat pada masa kini adalah suatu usaha yang sepatutnya dilaksanakan.
Jelasnya, ia merupakan bahasa yang tersendiri, sangat berbeza dan kini merupakan masa yang sangat sesuai untuk mempelajarinya.
“Mengapa ia sangat penting sekarang? Kerana ia memudahkan kita untuk membantu anak-anak OKU pada hari ini tidak kiralah untuk proses pembelajaran mereka mahupun dalam kehidupan seharian.
“Bayangkan jika ada ahli keluarga kita yang ditakdirkan mengalami masalah pendengaran jadi bagaimana untuk kita berkomunikasi dengan mereka, bahasa isyaratlah jawapannya,” katanya.