GERIK: Seorang anggota tentera cedera parah tangan kiri selepas diserang gajah liar di Hutan Royal Belum dekat sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 2 petang itu, anggota berpangkat Sarjan itu difahamkan sedang melakukan rondaan sebelum diserang haiwan liar itu.
Serangan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk pada tangan kiri dan mangsa kemudian dikearkan ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut.
Difahamkan anggota berkenaan melakukan rondaan di kawasan habitat gajah liar pada jarak kira-kira 40 kilometer dari Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) November.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Menurutnya, kawasan kejadian merupakan habitat haiwan liar.
“Perhilitan menasihatkan sesiapa yang masuk ke hutan agar sentiasa berhati-hati. Elakkan berkhemah di lokasi yang mempunyai kesan laluan gajah atau sumber makanannya termasuk berhampiran pokok buluh dan pokok buah-buahan hutan.
“Sekiranya perlu, ambil langkah pencegahan lain seperti tidak membiarkan makanan yang dibawa terdedah agar tidak dihidu dan dikesan haiwan liar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood ketika dihubungi berkata, pihaknya masih belum menerima laporan kejadian berkenaan.