Ambil iktibar kelemahan dahulu – Sultan Perak - Utusan Malaysia

Ambil iktibar kelemahan dahulu – Sultan Perak

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah mahu Utusan Malaysia baharu terus melangkah ke hadapan menghadapi cabaran baharu. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WARGA Malaysia khususnya masyarakat Melayu merasakan satu kehilangan besar apabila Utusan Malaysia dihentikan penerbitan pada 9 Oktober 2019. Alhamdulillah, hari ini, 28 Zulkaedah 1441 bersamaan 20 Julai 2020, Utusan Malaysia berjaya diterbitkan semula.

Utusan Malaysia diasaskan dengan penerbitan sulung pada 1 September 1967, hasil daripada gelombang kebangkitan semangat kebangsaan Melayu yang benihnya mula tersemai dalam rahim syarikat Utusan Melayu yang ditubuhkan di Singapura pada tahun 1938. Syarikat Utusan Melayu yang diasaskan penubuhannya pada 1938 oleh Yusof Ishak, seorang anak muda daripada keluarga elit di Perak, telah berjaya menerbitkan akhbar Utusan Melayu (akhbar berbahasa Melayu bertulisan jawi) pada 29 Mei 1939. Utusan Malaysia dan syarikat Utusan Melayu ialah pusaka bangsa yang sarat dengan sejarah perjuangan, merupakan khazanah berharga bangsa yang pernah mencipta dan berada di puncak kegemilangan dalam dunia persuratkhabaran tanah air.

Melangkah ke hadapan, Utusan Malaysia menghadapi cabaran besar untuk membantu memupuk semangat kenegaraan dan membina warga Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang agama, kaum, budaya dan bahasa, dapat hidup secara rukun lagi harmoni, saling menghormati dan saling memahami, dalam semangat bersama meskipun ada kelainan, bersatu meskipun ada kepelbagaian, selaras dengan cogan yang termaktub dalam jata negara; Bersekutu Bertambah Mutu.

Semoga Allah SWT melimpahkan panduan kepada para pendukung dan para petugas Utusan Malaysia mengambil iktibar kelemahan masa dahulu dalam usaha membina kekuatan masa hadapan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN