“INI pertama kali dalam sejarah, Utusan Malaysia bersama kita melawat kawasan.”
Berulang kali anak sulung kepada pasangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail itu mengungkap ayat tersebut kepada wartawan Utusan Malaysia, NUR ASLINDA MOHD. NASIR dan jurugambar, MUHAMMAD FARIZ RUSADIO dalam program ziarah di Permatang Pauh, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Kebetulan pula salah sebuah rumah yang diziarahi NURUL IZZAH didiami bekas pekerja kilang percetakan Utusan Melayu (M) Berhad di Seberang Perai yang menghidap strok.
“Tengok, saya temukan warga Utusan dengan Utusan,” seloroh Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang bakal mencecah usia 40 tahun.
Berbaju kurung ungu dan bertudung merah jambu menyerlahkan dan kelembutannya. malah karakter bersahaja itu membuatkan ramai penduduk sangat mudah mendekatinya.
Ikuti temubual eksklusif Utusan Malaysia bersama Nurul Izzah yang berkongsi pandangan dan cabarannya dalam dunia politik.
UTUSAN: Sebagai wakil rakyat, apa program yang dilaksanakan di kawasan Yang Berhormat (YB)?
NURUL IZZAH: Saya berpandangan, kita bukan sekadar mahu memberi bantuan tetapi juga mengumpul segala data penerima yang layak. Dalam memenuhi keperluan masa depan rakyat, kita tidak boleh bergantung kepada ukuran pendapatan semata-mata dalam merencana usaha dan program untuk mengubah taraf dan kualiti hidup mereka.
Di Permatang Pauh, kita memfokuskan kepada kesihatan wanita. Kita sudah laksanakan projek Removing Obstacles to Servical Screening (ROSE) secara kerjasama dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk 400 wanita golongan berpendapatan rendah (B40). Mereka telah melalui ujian saringan bagi kanser serviks.
Selain itu, kita juga tekankan kepada agenda pembangunan luar bandar. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin ada menganjurkan Festival Padi Antarabangsa. Kita perlu mengiktiraf para petani dan membantu mereka meraih keuntungan lebih tinggi dan lestari. Ini penting kerana penduduk kampung selalu merasakan ada jurang antara penduduk di bandar dan kampung.
Menyingkap zaman bapa YB dipenjarakan suatu ketika dahulu, adakah YB memang berniat untuk menyertai politik bagi mempertahankan beliau?
Siapa tidak sedih namun waktu itu memang kena lawan. Memandangkan ayah difitnah dan segala instrumen kerajaan disalah guna hanya kerana dia merupakan seorang musuh politik kepada kerajaan waktu itu.
Apa yang YB fikirkan ketika itu?
Kami sekeluarga sering melawat dia (Anwar) di penjara. Dalam setiap lawatan, saya terfikir, kami mempunyai peguam, ada pihak yang membantu. Bagaimana dengan orang lain? Jika suami mereka ditahan, bagaimana isteri dan anak-anak nak cari duit tambang, duit bayar khidmat guaman. Jadi kalau suaminya melakukan jenayah kecil, kita kena bagi ruang kepada golongan ini untuk memperbetulkan kesalahan mereka dan kembali menyara keluarga. Contohnya orang yang ditahan mencuri ikan kering, tin Milo, takkanlah kita tidak boleh memaparkan sedikit perikemanusiaan? Sekiranya mereka dipenjara, bagaimana dengan anak isteri mereka? Kalau anak enam orang, siapa akan jaga?
Kita kena fikir bagaimana kita nak buat reformasi kepada undang-undang ini. Jadi pada saya inilah legasi yang saya perlu teruskan.
Lim Kit Siang ada Lim Guan Eng, Tun Dr. Mahathir Mohamad ada Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Karpal Singh ada Gobind Singh Deo. Apabila YB letak jawatan dalam parti, adakah ini bermakna tiada legasi yang akan meneruskan agenda Anwar?
Legasi yang baik sepatutnya diteruskan oleh semua. Agenda reformasi yang dibawa Anwar boleh saja dirangkul semua – tidak terhad kepada anak-anaknya. Kerana gagasan itu penting, kita nak pentadbiran yang bersih dan selesaikan masalah rakyat. Salah satunya adalah reformasi sistem agar menjadi lebih baik termasuklah reformasi penjara.
Saya boleh sentiasa bekerja ke arah ini kerana saya rasa terlalu ramai di luar sana yang membicarakan politiking yang ekstrem. Pada saya, kita perlu lebih kepada membawa idea bernas dengan pembuktian yang jelas kepada masyarakat untuk selesaikan masalah sosioekonomi mereka.
Bagaimana YB lihat keadaan politik masa kini? Mampukah Pakatan Harapan (PH) ambil alih pentadbiran kerajaan?
Senario politik sekarang amat mencabar, maka usaha memenangi hati rakyat tidak boleh terhenti. Persoalan peletakan jawatan dan pengambilalihan kuasa adalah rumit kerana keadaan (politik) kurang stabil. Kita perlu kembali kepada usaha memerangi rasuah dan menyelesaikan masalah ekonomi pasca Covid-19 terlebih dahulu.
YB boleh terima pemimpin yang lompat parti dalam PKR?
Tidak sama sekali, never (takkan)! Saya nampak semua wadah mahukan mereka yang taat. Jika sudah berlaku sekali pengkhianatan, tidak mustahil akan berlaku lagi. Saya mahu meninggalkan mesej yang jelas kepada masyarakat terutama orang muda. PKR adalah wadah yang baik.
Dalam hidup ini, kita akan dinilai, juga daripada para malaikat yang merekodkan segala-galanya. Walaupun kita mahu bertindak secara pragmatik tapi bersyarat kepada pematuhan prinsip dan penghormatan kepada parti yang kita sertai. Itu penting. Isunya bila kita memeterai hubungan sama ada persahabatan, perjanjian, ia diselubungi rasa hormat kepada akad yang kita jalinkan.
Jika individu seperti YB, Rafizi Ramli dan Khairy Jamaluddin diangkat menjadi calon Perdana Menteri atas alasan inginkan kepimpinan muda dalam negara, YB terima?
Pada saya, kita kena teruskan amanah yang diberikan kerana ia adalah tanggungjawab sangat berat. Kita bakal diadili nanti maka jangan begitu mudah menerima tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Ia amanah, bukannya cara meraih kuasa.
Bukan sekadar soal pimpinan yang dipilih di atas tampuk kuasa, saya memohon agar semua mendoakan yang terbaik buat mereka di lapangan tidak kiralah guru, pengamal media, suri rumah, kerani atau barisan hadapan. Kita lakukan sebaik mungkin walau bukan mudah dan sangat mencabar.
Kita fokus kepada tugasan. Saya pasti Rafizi Ramli fokus kepada Adnexio (portal mencari kerja), Khairy pula sibuk mengepalai MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi). Kedua-duanya pemimpin berbakat dan disegani ramai.
Sudah tentunya, buat Malaysia, kita memerlukan Perdana Menteri yang berbakat, ikhlas dan berkemampuan.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berusia 73 tahun, Dr. Mahathir 95, Anwar 72, Datuk Seri Zahid Ahmad Hamidi 67, patutkah orang muda menggantikan mereka?
Kita kena lihat secara rasional dan holistik mengenai senario semasa politik tanah air. Penggantian sebegitu tidak akan berlaku secara automatik.
Bukan soal umur tapi kerangka dan idea yang dipakai. Contohnya, sesiapa sahaja yang pegang jawatan, umur apa sekalipun, harus wujud dalam diri masing-masing tentang keberanian untuk belajar dan melenyapkan proses pembelajaran lampau yang tempang digantikan dengan idea baik dan berkesan.
Pada YB, adakah troll Datuk Seri Najib Tun Razak dalam media sosial memberi kesan kepada PH?
Saya pasti Najib ada strategi tersendiri tapi kita perlu kena ada kematangan. Dengan cara (troll) sedemikian, boleh bertahan sampai bila?
Kita mahu pemimpin yang bersih dan sentiasa bermuhasabah. Prinsip bermuhasabah ini juga terpakai kepada PKR dan PH.
Maka ini cabaran utama bagi politik masa kini apabila kita berhadapan dengan fenomena berita palsu dan propaganda jahat. Jarang masyarakat mahu bercakap tentang isu serius atau isu penting tapi lebih kepada apa dimuat naik dalam laman media sosial.
Jadi mungkin kena usaha lebih lagi. Kita kena cari jalan untuk menilai kredibiliti seseorang yang bukan sahaja berpaksikan kepada media sosial tapi juga penyelesaian konstruktif dan keikhlasan kerja di lapangan. Keutamaan kepada penggubal dasar yang tidak memilih bulu.