tKLANG: Mungkin tidak mahu lagi bekerja, seorang amah Indonesia buat perangai dengan memandikan anak majikannya dengan air panas dalam kejadian di Taman Klang Perdana di sini Rabu lalu.
Amah berusia 30 tahun itu ditahan pukul 1.30 pagi di rumah majikannya semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, kejadian disedari nenek bayi berkenaan yang mendengar tangisan kuat cucunya yang berusia setahun.
Menurut beliau, warga emas yang memeriksa cucunya terkejut nampak belakang badan, punggung dan paha cucunya melecur akibat dimandikan dengan air panas.
“Nenek mangsa terus membawa cucunya ke hospital,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata Nurulhuda, bertindak atas laporan, pihaknya menjalankan siasatan dan menahan pembantu rumah di kediaman majikannya.
“Amah berkenaan mula bekerja dengan majikannya sejak November tahun lalu. Wanita itu pernah beritahu dia mahu pulang ke Indonesia kerana tidak berminat lagi untuk bekerja,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dalam tempoh tersebut majikan dan amah berkenaan tidak pernah ada masalah.
Amah itu direman empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE