DIROGOL tanpa sedar. Hanya kerana menghadiri majlis hari jadi kawan, Yaya (bukan nama sebenar) menjadi mangsa nafsu serakah rakan lelaki yang turut menjadi tetamu. Akibat meminum air yang dimasukkan ubat tidur, daranya hilang sekelip mata.
Sejak diketahui dirinya mengandung, hidup Yaya berubah daripada seorang periang menjadi pendiam. Asyik berkurung di dalam bilik kerana amat tertekan dengan nasib yang menimpa diri.
Ketika itu Yaya nekad untuk menggugurkan kandungannya, apatah lagi memikirkan kekecewaan keluarga akibat tersalah langkah.
“Saya tak sedar langsung masa kejadian. Saya tertidur dan bila bangun, saya dalam keadaan berpakaian. Masa tu ada rasa sakit badan dan ada rasa juga sakit pada bahagian sulit tapi tak sangka langsung kena rogol.
“Saya rasa sedih sangat bila dapat tahu mengandung dan nekad nak gugurkan anak ni. Tetapi apabila kandungan dah masuk empat bulan dan mula rasa bayi tendang perut, saya sedar bayi ini tak berdosa.
“Perbuatan saya yang salah. Nak menyesal pun dah tak guna. Ini juga adalah pengajaran kepada saya sebab masa tu mak ayah tak bagi saya pergi majlis hari jadi tu tetapi saya degil tak dengar cakap,” luah Yaya kepada Cekmek Molek ketika ditemui di Rumah Perlindungan Nur Hati di Ampang, Selangor, baru-baru ini.
Gadis berusia 25 tahun itu merupakan mangsa teraniaya yang memilih untuk tinggal di rumah itu demi mencari perlindungan. Kandungannya sudah masuk lapan bulan. Dia dihantar sendiri oleh keluarganya kerana tidak mahu dicemuh oleh jiran tetangga.
Walaupun baru tiga minggu di situ, dia mula rasa tenang dan positif untuk membina hidup baharu. Yaya yang berasal dari Terengganu langsung tidak menganggap dia dibuang oleh keluarga, sebaliknya ia merupakan satu peluang untuk menebus kesalahan.
Selain Yaya, seorang lagi penghuni rumah perlindungan itu mengalami nasib yang sama. Namun Ila (bukan nama sebenar) bukanlah dirogol. Sebaliknya terlanjur dengan teman lelakinya atas dasar suka sama suka.
SUKA SAMA SUKA
Ila yang berasal dari kampung mengaku dirinya mengalami culture shock selepas datang bekerja di Kuala Lumpur. Konon mahukan kebebasan kerana berasa diri sentiasa dikongkong keluarga, Ila berbuat apa sahaja walaupun tahu akibat perbuatannya itu mengundang padah.
“Saya sangat terkejut bila tahu saya mengandung kerana saya mahu cuba-cuba sahaja, suka sama suka atas kerelaan sendiri. Saya tak salahkan teman lelaki saya.
“Saya sangat takut nak beritahu keluarga sampai satu tahap saya rasa nak bunuh diri, nak terjun dari balkoni rumah,” kata pelajar lepasan diploma itu.
Ila bagaimanapun amat bersyukur dapat berlindung di rumah tersebut dengan dihantar sendiri teman lelakinya. Di situ, dia disayangi, belajar solat, mengaji al-Quran selain sentiasa mendapat nasihat daripada penghuni-penghuni ‘senior’. Sesekali pihak pengurusan menjemput penceramah agama atau motivasi untuk santapan rohani.
Sejak tinggal di situ, Ila juga insaf apabila melihat wajah-wajah mungil anak-anak kecil dan mula terfikir apa akan terjadi kepada anak yang dikandungnya jika dia memilih untuk menggugurkan kandungan.
Berbeza pula dengan seorang lagi penghuni, Ira (bukan nama sebenar) yang berada di rumah perlindungan sejak sembilan bulan lalu. Dia sudah pun melahirkan anak dan kini berusia enam bulan.
Anak itu merupakan hasil hubungan bersama teman lelakinya. Malangnya, teman lelakinya tidak mahu bertanggungjawab malah menuduh Ira ‘tidur’ dengan lelaki lain.
Namun gadis berusia 21 tahun itu tidak mahu lagi memikirkan hal tersebut dan bertekad untuk meneruskan hidup serta membesarkan anak. Dia sedar semua yang berlaku atas kesilapannya sendiri. Lagipun, dia sudah lama hidup sendiri sejak melarikan diri dari rumah semasa berumur 16 tahun.
“Ira nekad nak jaga anak ini, tak kisah apa terjadi sebab bila fikir balik anak ini tak berdosa pun. Di rumah ini Ira rasa tenang, mula belajar solat, mengaji…daripada tak tahu apa-apa jadi dah dekat dengan agama.
“Ira mula fikir balik kenapalah dulu aku lari dari rumah, rasa ruginya sia-siakan masa. Ira banyak buat salah dengan mak ayah. Sampai masa nanti Ira nak balik dan minta maaf dengan mereka. Ira reda kalau mereka tak nak terima Ira lagi,” katanya sambil memangku anaknya.
TIMBUNAN SAMPAH
Kisah tiga remaja ini antara mereka yang berjaya diselamatkan daripada kes pengguguran atau pembuangan bayi yang semakin membimbangkan di negara ini. Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih daripada 100 bayi dibuang setiap tahun. Kebanyakan bayi malang itu dibuang di dalam timbunan sampah dengan 60 peratus daripadanya sudah tidak bernyawa lagi apabila dijumpai.
Orang ramai pastinya pantas menuding jari terhadap ibu yang bertindak di luar batasan kemanusiaan itu sedangkan mereka hanyalah mangsa jenayah atau terjeremus dalam kancah sosial. Mereka perlu diselamatkan dan dibantu.
Namun tidak banyak rumah perlindungan seumpama ini diusahakan demi menyelamatkan gadis-gadis teraniaya. Tidak ada dana khusus oleh kerajaan disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang secara sukarela mengusahakannya. Pengusaha perlu mencari dana sendiri atas rasa tanggungjawab kepada masyarakat.
Sudah sampai masanya kerajaan melakukan sesuatu sebelum lebih ramai gadis hamil luar nikah yang kini telah pun melebihi 4,500 kes. – UTUSAN