SHAH ALAM: Seorang lelaki ditemukan rentung selepas terperangkap di dalam rumahnya yang terbakar di Taman Bukit Saga di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu, mayat Ahmad Zulhilman Zakaria, 27, ditemukan di laluan masuk ke bilik air di tingkat dua rumah berkenaan.
Adik mangsa, Ahmad Hamizan, 25, yang tidur di tingkat bawah sempat menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap.
Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri, Hafisham Mohd. Noor berkata, ketika kejadian hanya dua beradik itu berada di dalam rumah.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Kita dimaklumkan, ibu bapa mereka berada di luar negara,” katanya di sini hari ini.
Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian sedang disiasat .- UTUSAN ONLINE