SHAH ALAM: Polis Selangor memburu 88 individu tidak hadir melakukan saringan kedua Covid-19.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kesemua individu terbabit sepatutnya menjalani ujian saringan Covid-19 pada hari ke-13, namun mereka tidak berbuat demikian.
“Tindakan individu ini menimbulkan kerisauan masyarakat. Oleh demikian, kita menubuhkan pasukan khas bagi mengesan semua individu yang gagal hadir ke klinik untuk disaring kali kedua.
“Jika mereka terus enggan berbuat demikian, mereka akan didakwa di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 Akta 342,” kata beliau pada sidang akhbar hari ini.
Justeru, beliau menggesa mana-mana individu yang belum membuat saringan kedua, segera ke klinik kesihatan.
Fadzil berkata, pihaknya telah mengeluarkan 3,267 kompaun bermula April sehingga semalam.
“Jumlah yang membuat bayaran 1,639 individu. Oleh demikian, kita menasihati masyarakat supaya mengikut undang-undang bagi mengekang penularan Covid-19 elak dikompaun,” katanya. – UTUSAN ONLINE