KANGAR : Sebanyak 42 mesin air layan diri di sekitar Perlis disita dalam operasi tiga hari oleh Jabatan Kesihatan negeri pada Selasa hingga Khamis lalu.
Pengarahnya, Dr. Sirajuddin Hashim berkata, mesin tersebut disita selepas beroperasi tanpa lesen daripada Kementerian Kesihatan.
Katanya, operasi disertai 17 anggota Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan serta Pejabat Kesihatan daerah Kangar memeriksa premis perniagaan dan mesin jualan air di sini, Arau dan Padang Besar.
“Dalam Operasi tiga hari,dua premis perniagaan dan 43 mesin jualan air diperiksa. Daripada jumlah itu, sebanyak 42 mesin jualan air atau mesin air layan diri disita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sirajuddin, penyitaan itu dilakukan mengikut Seksyen 4 (1)(f), Akta Makanan 1983 kerana beroperasi tanpa lesen.
Tambahnya,, sememangnya menjadi tanggungjawab pemilik perniagaan untuk sentiasa mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan berkaitan.
“Orang ramai disaran memilih air yang dijual daripada sumber yang berlesen bagi memastikan bekalan itu selamat dan berkualiti,” katanya. – UTUSAN ONLINE