ALOR SETAR: Lebih 10,000 peserta didakwa ‘kempunan’ menjadi jutawan selepas diperdaya sindiket menguruskan pelaburan komuniti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), April lalu.
Peserta terbabit mendakwa mereka melabur RM20 hingga RM5,000 seorang dan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM1.25 juta.
Kumpulan sindiket itu dipercayai didalangi seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan bekas tentera berpangkat Mejar menipu mangsa dengan menjanjikan pendapatan melebihi RM1 juta dalam masa singkat.
Seorang peserta, Haiqal Amirul, 31, dari Sungai Petani dekat sini mendedahkan, sindiket itu mengambil kesempatan ketika orang ramai kesempitan wang semasa PKP dengan memperkenalkan program tersebut bertujuan menipu.
Menurutnya, kebanyakan peserta pelaburan itu berumur antara 20 hingga 70 tahun.
“Orang ramai yang menyertai program itu membuat bayaran ke dalam akuan bank milik seorang individu dipercayai ahli kumpulan sindiket berkenaan.
“Malah saya sendiri melabur RM300 dalam program komuniti itu pada 21 April lalu, namun masih tidak menerima imbuhan seperti dijanjikan,” katanya di sini hari ini.
Haiqal yang bekerja di syarikat swasta berkata, dia telah membuat laporan penipuan kumpulan sindiket itu di Balai Polis Bayan Baru, Balik Pulau, Pulau Pinang, 14 Julai lalu.
Tambahnya, setakat ini, difahamkan lebih 20 laporan polis telah dibuat oleh peserta program itu dari seluruh negeri.
“Saya berharap polis dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sekiranya terbukti kumpulan sindiket terbabit melakukan kesalahan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.
Katanya, polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN