MUKADIMAH
PERJALANAN dari Petaling Jaya, Selangor ke Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia di Jalan Bangi Lama, Semenyih, mengambil masa 30 minit. Usai tiba, Setiausaha persatuan itu, MUHAMMAD SYAFIQ MOHIADIN menyambut ketibaan wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN dan jurugambar, IQBAL ROSLI dengan senyuman dan salam.
Penolong Setiausaha Kehormat Pertubuhan Gabungan Rumah Kebajikan Perpaduan Negeri Selangor (Pakar) itu membawa kami meninjau ruang menempatkan 50 warga emas daripada pelbagai latar belakang dengan cerita tersendiri.
Ada yang khusyuk beraktiviti, dan dengar ceramah. Melihat yang lanjut usia terlantar di atas katil, timbul persoalan, di manakah anak-anak mereka? Di ambang Aidilfitri, mungkin ada mengharapkan ketibaan ahli keluarga mengambil mereka pulang.
Muhammad Syafiq mengakui, itulah situasi pilu berlaku setiap tahun. Ibu bapa terpaksa menelan pahit sikap anak-anak yang melepaskan tanggungjawab menjaga mereka di hujung usia.
Kami turut mendapatkan penghuni, FARIDAH ESA dan HZAHARI MD. NOOR, berkongsi kisah mereka di pusat jagaan itu. Ikuti temu bual kami.
MINGGUAN MALAYSIA: Boleh kongsi latar belakang penubuhan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia?
MUHAMMAD SYAFIQ: Kami beroperasi sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selama sembilan tahun sejak penubuhan pada 2016. Kebanyakan ahli amat ‘dekat’ dengan hospital yang mana kami terdiri daripada pegawai kerja sosial perubatan dan sukarelawan hospital.
Kami berperanan menjaga individu-individu berdepan isu pengabaian khususnya dalam kalangan warga emas. Tiada waris atau anak-anak mengambil mereka semula yang berakhir dengan pengabaian yang tidak berpanjangan. Ini isu yang serius dan jika tidak dibendung akan menjadi lebih parah.
Berapa permohonan kemasukan diterima?
Kami setiap hari menerima permohonan kemasukan dan secara anggaran terdapat antara 30 hingga 50 permohonan dalam tempoh sebulan. Kami bukan sahaja menerima permohonan kemasukan di sekitar kawasan Lembah Klang, malah dari seluruh negara. Namun, kami tetapkan penerimaan penghuni di sini maksimum 50 orang kerana kapasiti dan luas kawasan.
Kisah setiap penghuni berbeza, apa yang paling menyentuh perasaan?
HARTA
Benar, setiap penghuni di sini ada cerita masing-masing. Realitinya, faktor utama kerana anak-anak berebut harta ibu dan bapa seperti menerima wang simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menukar nama atau pindah milik hartanah seperti tanah dan rumah serta anak-anak enggan lagi jaga ibu bapa sakit.
PENDIDIKAN DAN KESEDARAN
Suka saya sentuh tentang pendidikan kerana apabila ibu bapa mereka sakit dan terlantar, anak-anak tidak tahu apa yang mesti dilakukan atau cara mengurus ibu bapa. Jadi, mereka memilih menghantar ibu bapa ke hospital dengan apa yang dianggap sebagai tempat terbaik untuk menyelesaikan masalah ini. Senang cerita, anak-anak melepas tanggungjawab dan beban yang mereka tanggung tanpa ada perasaan empati.
Namun, mereka khilaf kerana hospital hanya tempat rawatan sementara dan sesudah itu, anak-anak perlu mengambil semula ibu bapa. Akhirnya, mereka tinggalkan ibu bapa begitu sahaja tanpa jejak atau pesan.
SALAH SENDIRI
Saya juga melihat daripada kesilapan individu (penghuni) kerana mungkin sebelum ini, ketika masih sihat, mereka juga pernah berbuat silap dan tidak menjalankan tanggungjawab membuatkan anak mereka menjauhkan diri. Apabila sakit, barulah mencari anak.
Ada juga kahwin banyak kali menyebabkan penghuni hilang rasa tanggungjawab menjaga anak dan keluarga kemudian berakhir dengan perpisahan. Selebihnya adalah masalah keluarga seperti ibu, bapa dan adik-beradik bergaduh kemudian tidak memperbaiki hubungan, membawa haluan sendiri, jatuh sakit, tidak tahu ke mana dan akhirnya ke pusat jagaan.
Namun ingatlah, walau seburuk mana ibu dan bapa terhadap kita (anak), mereka tetap ibu dan bapa melahirkan kita ke dunia ini. Anak-anak sepatutnya memikirkan alternatif terbaik dalam mengurus ibu bapa. Walaupun perasaan marah masih tersekat dalam dada, namun, adik-beradik boleh bekerjasama memberi sumbangan untuk pusat jagaan. Ini menunjukkan mereka masih ada rasa tanggungjawab menguruskan ibu bapa di tempat lebih sesuai.
DIDIKAN AGAMA
Jika anak-anak ada didikan agama yang cukup, kes ini Insya-Allah berkurang.
AMBIL PUN SEBAB ADA NIAT LAIN
Pernahkah waris atau anak ambil ibu bapa mereka di pusat jagaan?
Ada juga, malah kami gembira jika waris ambil mereka. Tetapi, selalunya bersebab atau ada niat tertentu seperti menjadi wali di majlis perkahwinan, tandatangan borang atau dokumen dan sebagainya. Mereka ambil pun sekejap sahaja dan seminggu selepas itu, hantar ke hospital dan pusat jagaan lain pula.
Tentang kesilapan ibu bapa, apakah sikap dan niat anak-anak menghalalkan cara sehingga bertindak seperti itu?
Walau apa pun, niat tidak menghalalkan cara. Jika anak-anak berdendam dan membalasnya semula, tindakan ini salah dari sudut agama.
ANAK MELAYU PALING RAMAI BUANG IBU, BAPA
Mengikut komposisi, kaum mana paling ramai berdepan isu pembuangan ibu bapa atau warga emas?
Paling ramai Melayu, namun, kami juga menerima penghuni dari semua latar belakang kaum dan agama. Jika ada meninggal dunia, kami akan berurusan dengan pihak berkenaan untuk menguruskan jenazah mengikut agama masing-masing.
Berapa ramai penghuni sudah meninggal dunia?
Kebanyakan penghuni menetap di sini sepanjang hayat mereka dan setakat ini, 59 orang sudah meninggal dunia dan semua kami urus.
ANAK MACAM TIADA HATI PERUT IBU, BAPA MENINGGAL
Ada waris atau anak datang?
Ketika ada penghuni meninggal dunia, banyak kes berlaku anak-anak tidak datang menziarah. Ketika kami berusaha hubungi, mereka beri alasan tidak masuk akal seperti pergi bercuti dan berada lapangan terbang.
Saya tidak sesekali lupa bagaimana seorang waris bercakap kepada saya: “Encik uruskan dialah (ibu bapa)” dan “Encik, tidak bolehlah sebab tayar kereta saya botak”.
Ada satu kes yang mana seorang ibu menetap dengan kami enam tahun sehingga ajal menjemput. Selepas kami lakukan proses kafankan jenazah di bilik forensik, tiba-tiba anak muncul, lihat jenazah beberapa saat kemudian berlalu begitu sahaja. Cium dan peluk pun tidak. Ada yang datang juga ke tempat pengurusan jenazah dan pengebumian, tetapi hanya melihat dari sudut tepi sementara kami yang uruskan semuanya sehinggalah angkat jenazah ke liang lahad. Di manakah rasa simpati dan perikemanusiaan mereka?
HANYA DATANG TUNTUT SIJIL KEMATIAN
Ada yang datang semata-mata minta sijil kematian. Ada datang cara baik dan biadab. Kami pernah berdepan kes orang kaya mencampak wang ringgit termasuk membawa pengiring dengan tujuan mahu dapatkan sijil kematian ibu bapa. Bayangkan, tindakan mereka ini dengan riak wajah yang tiada perasaan sedih selepas kehilangan ibu bapa. Ada juga yang berlakon kelam-kabut dan sedih pergi ke kubur, tetapi, sepanjang hidup, tiada datang jenguk.
PILU MALAM AIDILFITRI
Ada situasi paling memilukan setiap kali tiba Aidilfitri?
Ini yang selalu berlaku setiap kali tiba malam hari raya kerana ada penghuni yang akan mengemas barang-barang mereka dan menunggu di hadapan pintu. Mengikut perasaan mereka, ada anak saudara-mara yang akan datang ambil dan bawa pulang, namun sebenarnya, ia hanya mainan perasaan.
Saya cakap pada mereka jika anak datang, saya sendiri yang akan arahkan mereka ambil dan bawa mereka pulang. Buat apa mereka tinggalkan ibu bapa, kemudian datang melawat?
Apa pesanan kepada waris dan yang mengabai dan ‘membuang’ ibu bapa mereka?
Jika ada yang mengenali penghuni di pusat jagaan, ambillah mereka kerana mereka ini sebenarnya menanti kedatangan anak-anak. Mungkin inilah harapan terakhir mereka dan setidaknya, mereka dapat memenuhi harapan ini untuk kali terakhir.
‘Tidak dapat jumpa, dengar suara anak pun tidak apa’
HZAHARI MD. NOOR, 55, dari Kuala Lumpur sepatutnya menjalani zaman muda dengan kehidupan bekerjaya dan mencurah seluruh kasih sayang untuk isteri dan anak. Tetapi, takdir melorongkan jalan hidupnya berseorangan, bercerai dan terpisah dengan anak berumur empat tahun, 18 tahun lalu.
Dia tidak menduga tubuh badan sihat dan aktif bersukan berakhir di kerusi roda. Pergerakannya terbatas kerana sakit lutut. Harapannya cuma satu – sebelum ajal menjemput, bertemu anak perempuannya walau tidak pernah melihat wajah individu kini berusia 22 tahun.
Di mana ahli keluarga sekarang?
HZAHARI: Saya bercerai pada 2006. Ada seorang anak perempuan saya sudah tidak jumpa sejak umur empat tahun. Saya tidak pernah nampak wajahnya sekarang dan tidak tahu di mana berada.
Saya pernah hubungi bekas isteri dan berjumpa, tetapi, enggan beri kerjasama mempertemukan anak kami. Saya putus harapan. Di mana lagi mahu cari?
Rindu pada anak masih belum terlunas?
Ya, saya amat merindukan anak, masih terdengar teriakannya waktu kecil dan kadang-kadang terbawa ke dalam mimpi.
Ada waris atau ahli keluarga cari? Saya sudah tiada ahli keluarga. Ada pun adik lelaki tidak tahu di mana keberadaannya, manakala kakak tiri saya sudah pun berkeluarga. Jadi, malas mahu ‘kacau’ keluarga orang. Hubungan adik-beradik biasa sahaja, tidak terlalu mesra.
Apa harapan Encik?
Saya berharap anak saya datang kepada saya sebelum akhir hayat saya. Berjumpa untuk sekali ini sahaja pun jadilah. Kalau tidak dapat jenguk pun, sekurang-kurangnya, saya mendengar suaranya sahaja.
Dia pun mungkin tidak tahu saya berada di sini. Saya tidak mengharapkan ahli keluarga datang berjumpa saya, tetapi, air mata pernah gugur kerana teringatkan anak, kakak dan adik lelaki saya.
‘Saya sudah tawar hati’
Di usia 69 tahun, FARIDAH ESA, berasal Kuala Lumpur, masih berjalan dan bercakap dengan baik dan jelas. Secara luaran, dia kelihatan seperti tidak pernah berada di titik terendah dalam hidupnya. Bagaimanapun, Faridah menyimpan seribu satu perasaan.
Hatinya remuk apabila dua anak perempuan yang ditatang bagai minyak penuh sehingga berjaya ke menara gading, akhirnya memilih memutuskan hubungan tanpa kata akhir. Dia menjawab soalan pemberita dengan senyuman, tanpa ada yang perlu disembunyikan. Sepanjang perbualan, tiada setitis pun air mata gugur menggambarkan hatinya sudah beku.
Mengapa Puan berada di pusat jagaan Mahmudah?
FARIDAH: Saya sebelum ini sakit, tiada orang yang menjaga. Saya pengsan di rumah, memerlukan preskripsi ubat dan doktor tidak benarkan saya berseorangan bimbang berlaku keadaan yang tidak diingini. Suami meninggal dunia pada 2019, dua minggu sebelum pandemik Covid-19 bermula. Suami sakit sejak 2010. Saya sudah tiada saudara-mara lain, hanya ada seorang abang sudah meninggal dunia.
Gembira di pusat jagaan ini?
Saya gembira di sini. Semua penghuni ramah-tamah. Di sini, masa saya banyak terisi dengan aktiviti bermanfaat. Kalau saya tinggal seorang diri, takut juga.
Di mana anak-anak Puan?
Saya ada dua anak perempuan kini berumur 50 dan 37 tahun dan sudah berkeluarga. Anak sulung tinggal di Bangsar dan seorang lagi di Gombak.
Mereka tidak ambil Puan pulang dan tinggal bersama mereka?
Tidak. Saya datang ke sini pun seorang diri.
ANAK TIDAK SUKA, TETAPI MENANTU OKAY
Boleh cerita apa yang berlaku?
Anak sulung tidak suka saya semasa ayahnya sakit dan meninggal dunia. Tetapi, menantu pula baik dengan saya. Saya pelik kerana anak saya secara tiba-tiba membenci saya. Sampai sekarang saya tertanya-tanya, apa salah saya lakukan?
Dia juga tidak sudi jenguk saya di rumah sedangkan kami tinggal di blok sama, tetapi lain unit. Sebelum suami meninggal, dia okay dan selalu tidur di rumah, namun tidak lagi datang selepas suami sakit. Walaupun menantu baik, tetapi, tidaklah sehingga tawarkan diri jaga saya kerana anak saya sendiri larang.
Pernah bertanya hal itu?
Tidak pernah, lagi pun dia sudah lama tidak datang ke rumah. Tiada kemuncak pergaduhan antara kami, tiba-tiba saya mereka berubah.
ANAK OKAY, TETAPI MENANTU PULA TIDAK SUKA
Anak kedua pula bagaimana?
Anak kedua baik dan mahu jaga saya, tetapi, suami pula bersikap sebaliknya. Suaminya larang saya ke rumah mereka atas alasan menyusahkan.
Puan masih berharap anak-anak datang berjumpa Puan?
Saya tidak mengharapkan apa-apa lagi kerana sudah tawar hati. Seandainya mereka datang ke sini pun, saya tidak mahu lagi berjumpa kerana merekalah yang menyebabkan hidup seperti ini. Jika salah ini berpunca daripada saya tidak mengapa, namun, sampai sekarang saya masih mencari jawapan mengapa anak saya bersikap seperti ini?
Harapan sempena Aidilfitri ini?
Tiada harapan lagi kerana saya sudah putus asa. Saya hanya mahu tinggal di sini bersama warga emas yang lain. – Mingguan Malaysia