Tidak perlu penjelasan garis panduan baharu umat Islam – PM - Utusan Malaysia

Tidak perlu penjelasan garis panduan baharu umat Islam – PM

Anwar Ibrahim beramah mesra bersama jemaah selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati, Ampang, semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada penjelasan diperlukan berhubung garis panduan baharu bagi umat Islam menghadiri majlis masyarakat bukan Islam.

Namun, Perdana Menteri menegaskan, adalah penting bagi semua umat Islam untuk menjaga akidah kerana sememang­nya mengetahui pantang larang membabitkan agama.

Jelasnya, kehadiran umat Islam pada majlis bukan Islam tidak melebihi batas sebaliknya hanya sekadar memenuhi jemput majlis dan bukannya upa­cara agama.

“Betul Islam agama Persekutuan tetapi kita negara pelbagai kaum pelbagai agama. Kalau kita mahu pastikan negeri ini aman, kita kena jaga semua pihak.

“Maknanya hari ini saya hadir, ini upacara masyarakat India. Saya bukan masuk kepada upacara agama, begitu juga kalau Tuan Seri Naga Raja pergi ke kawasan masjid untuk majlis, kenduri dan sebagainya dia bukan pergi ke upacara agama Islam tetapi untuk majlis,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Dewan Kuil Batu Caves di sini semalam.

Sehubungan itu beliau berpendapat tidak perlu memberi penjelasan berhubung peraturan atau panduan tersebut.

“Yang perlu orang Islam jaga akidah dia bahawa ada peraturannya, ada yang tidak boleh dilanggar. Tetapi untuk menyantuni masyarakat pelbagai kaum pelbagai agama itu tidak ada masalah selama ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, keputusan Jemaah Menteri berhubung garis panduan baharu itu tidak menimbulkan sebarang masalah.

“Bagaimanapun, ini telah diputuskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri dan saya akan persembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI),” katanya.

Terdahulu, jemaah Menteri bersetuju Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memberikan nasihat kepada umat Islam di Malaysia berkaitan keperluan menjaga akidah ketika mengikuti majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang membabitkan unsur-unsur keagamaan.

Menerusi satu kenyataan bersama antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar.

Kata kenyataan itu, Jemaah Menteri juga mengingatkan bahawa setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.

“Mesyuarat telah meneliti mengenai kekeliruan berkaitan cadangan tersebut. Perkara ini berbangkit susulan beberapa pertanyaan daripada umat Islam tentang jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan.

“Bagi memberi panduan kepada umat Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil inisiatif membangunkan garis panduan tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Kementerian Perpaduan Negara akan terus menyemarakkan pelaksanaan Dialog Harmoni bagi memperkukuhkan keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di negara ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya