LONDON: Calon temu duga kerja di Istana Buckingham, Sandrigham atau Istana Windsor wajib melepasi syarat yang ketat, sekalipun sebagai tukang cuci.
Lapor Mirror, keluarga diraja menginginkan seorang pekerja yang teliti dan cemerlang dalam setiap tugas yang dilakukan.
Menurut Ketua Pengambilan Pekerja, Tracey Waterman, pihaknya akan melaksanakan cabaran rahsia kepada semua calon yang ditemu duga untuk melihat bagaimana mereka bertindak.
Jelasnya, ujian pelik itu bagi mengenal pasti tukang cuci istimewa dan terbaik yang diambil oleh pihak istana.
Beliau malah menerangkan, pihaknya akan meletakkan lalat yang sudah mati di kawasan pendiangan atau karpet di dalam bilik bagi melihat sama ada mereka menyedarinya serta tindakan yang diambil.
“Salah satu ujian yang saya suka lakukan untuk melihat sama ada calon mempunyai daya penglihatan yang tajam dengan meletakkan lalat yang mati itu.
“Kemudian saya akan membawa calon ke dalam bilik tersebut dan memberikan peluang kepada mereka melihat keadaan yang terdapat di dalamnya,” katanya.
Namun jelasnya, ujian itu bukan sahaja tentang mengesan kehadiran lalat, tetapi mengenai tindakan mereka selepas melihat kehadiran serangga itu.
“Ia adalah ujian terbaik, mungkin separuh daripada 10 calon akan sedar kehadiran lalat itu. Namun, hanya seorang daripada 10 calon yang akan mengutipnya dan itu adalah pembantu istana yang kita cari,” ujarnya.
Kali terakhir Ratu Elizabeth melantik tukang cuci istana pada Oktober lalu dengan tawaran gaji sebanyak 19,100 pound (RM104,696).