NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 26 pekerja maut manakala dua lagi cedera selepas jambatan kereta api yang sedang dibina merentasi jurang di negeri Mizoram timur India runtuh, lapor pegawai.
Rakaman video yang disiarkan oleh Ketua Menteri Mizoram, Zoramthanga menunjukkan keadaan bingkai logam yang tumbang ke dalam lembah berhutan.
“Landasan kereta api yang dalam pembinaan di atas jambatan di Sairang, dekat Aizawl runtuh hari ini, sehingga menyebabkan pekerja meninggal dunia,” kata Zoramthanga laman sosial X.
Akhbar Indian Express yang memetik kenyataan seorang anggota polis memaklumkan, 18 mayat sudah ditemui manakala lapan lagi dikesan dan sedang dibawa keluar pasukan penyelamat.
Akhbar Hindu yang memetik pegawai kerajaan negeri, melaporkan, kira-kira 40 pekerja berada di tapak ketika jambatan itu runtuh.
“Operasi menyelamat sedang dijalankan dan semua bantuan yang mungkin diberikan kepada mereka yang terjejas,” kata pejabat Perdana Menteri, Narendra Modi.
Modi turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan kerajaan akan membayar pampasan kepada waris.-AFP/AP