STOCKHOLM: Penghasilan senjata nuklear di beberapa negara terutama China, didakwa ‘berkembang pesat’ tahun lalu dan negara kuasa atom lain juga semakin rancak memodenkan persenjataan mereka ketika ketegangan geopolitik meningkat.
Pengarah Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), Dan Smith, menyifatkan dunia menghampiri atau mungkin sudah mencapai penghujung tempoh panjang yang menyaksika senjata nuklear di seluruh dunia semakin berkurangan.
“Sebelum ini, lebih 30 tahun kita berdepan dengan kekurangan jumlah senjata nuklear, namun kini, proses itu akan berakhir tidak lama lagi,” kata Smith sambil menyatakan jumlahnya masih jauh daripada lebih 70,000 nuklear dicatatkan pada 1980-an.
Ini berikutan jumlah senjata nuklear dalam kalangan sembilan kuasa nuklear, Britain, China, Perancis, India, Israel, Korea Utara, Pakistan, Russia dan Amerika Syarikat (AS) turun kepada 12,512 pada awal 2023, daripada 12,710 pada awal 2022, menurut SIPRI.
Daripada jumlah itu, 9,576 berada dalam ‘stok ketenteraan untuk kegunaan berpotensi’, lebih 86 daripada setahun sebelumnya.
SIPRI membezakan antara stok negara yang tersedia untuk digunakan dan jumlah inventori mereka termasuk yang lama untuk dimusnahkan.
Dilaporkan, sebahagian besar peningkatan adalah dari China daripada 350 kepada 410 senjata nuklear. India, Pakistan dan Korea Utara juga meningkatkan simpanan mereka dan Russia berkembang ke tahap lebih kecil daripada 4,477 kepada 4,489, manakala kuasa nuklear yang tinggal mengekalkan saiz senjata mereka.
Russia dan AS bersama-sama masih mempunyai hampir 90 peratus daripada semua senjata nuklear.
Penyelidik di SIPRI juga menyatakan bahawa usaha diplomatik ke atas kawalan senjata nuklear dan pelucutan senjata mengalami kemerosotan berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Februari lalu, Moscow mengumumkan bahawa ia menggantung penyertaan dalam Perjanjian 2010 mengenai Langkah-Langkah untuk Pengurangan Selanjutnya dan Pengehadan Senjata Serangan Strategik (New START).
Smith berkata, peningkatan dalam simpanan tidak dapat dijelaskan disebabkan perang di Ukraine kerana ia mengambil masa lebih lama untuk membangunkan senjata nuklear baharu dan sebahagian besar daripada peningkatan itu adalah dalam kalangan negara yang tidak terjejas secara langsung.
Katanya, China juga melabur banyak dalam semua bahagian tenteranya apabila ekonomi dan pengaruhnya berkembang.
“Apa yang kita lihat ialah China semakin meningkat sebagai kuasa dunia, itulah realiti zaman kita,” kata Smith. – AFP