Mangkuk porselin China dijual lebih RM110.4 juta

Mangkuk porselin China dijual lebih RM110.4 juta

MANGKUK porselin itu dijual pada harga lebih AS$25 juta. - AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOWLOON: Sebuah mangkuk porselin yang mudah pecah berjaya dijual pada harga lebih AS$25 juta (RM110.4 juta) dalam satu jualan seni China di Hong Kong.

Lapor CNN, barang antik yang dijual pada harga luar biasa itu hanya berukuran kurang daripada 11.43 sentimeter (cm).

Selain disifatkan sebagai `amat penting’ oleh agensi lelongan Sotheby’s, mangkuk porselin itu dikatakan berasal dari sekumpulan barang seramik yang jarang dihias di bengkel empayar Beijing pada abad ke-18.

Mangkuk itu dihasilkan pada zaman Maharaja Yongzheng yang pernah memerintah China dari tahun 1722 hingga 1735, walaupun enamel itu mungkin dicat sejurus selepas kemangkatannya.

“Ia merupakan sebahagian tradisi dikenali sebagai falangcai atau warna asing.

“Nama itu diberikan kepada barang porselin yang berasal dari tanur empayar Jingdezhen tetapi dilapisi enamel oleh sekumpulan tukang kecil bengkel di Kota Larangan Beijing,” jelas laporan itu.

Menurut laporan, mangkuk porselin itu mempunyai hiasan pokok aprikot yang mekar, pokok willow dan dua burung walet.

Reka bentuk itu juga menampilkan petikan puisi yang dianggap ditugaskan oleh pendahulu dinasti Ming Yongzheng, Maharaja Wanli.

Dalam pada itu, pakar barang seramik, Regina Krahl berkata, idea memaparkan hiasan burung dan bunga adalah popular ketika zaman Yongzheng.

Krahl turut menyifatkan mangkuk itu sebagai antara sekumpulan kecil barang antik yang mewakili `kemuncak lukisan pada porselin, kesenian yang tidak boleh diatasi’.

Sementara itu, Sotheby’s memaklumkan  mangkuk porselin yang dijual itu memiliki sebuah lagi set. 

Barangan itu pertama kali direkodkan dalam koleksi dikumpulkan oleh saudagar kapal berpangkalan di Shanghai, Kapten Charles Oswald Liddell pada akhir abad ke-19.          

Kedua-dua mangkuk porselin itu `dipisahkan’ pada tahun 1929 apabila masing-masing dijual pada harga 150 Pound (RM820.92) pada ketika itu.

Tambah agensi lelongan, `kembar’ mangkuk porselin itu kini dipamerkan di Muzium British di London.   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya