LONDON: China secara jelas sengaja menyasarkan etnik Uighur untuk melakukan penghapusan etnik dengan melaksanakan polisi kawalan kelahiran secara paksaan di wilayah Xinjiang.
Tribunal bebas di United Kingdom (UK) mendapati Kerajaan China turut bertanggungjawab melakukan pembunuhan beramai-ramai, jenayah kemanusiaan dan penindasan terhadap etnik tersebut.
Ketua Tribunal Uighur, Geoffrey Nice QC berkata, penindasan bermaharajalela itu tidak akan wujud sekiranya rancangan di peringkat tertinggi China tidak membenarkannya berlaku.
“Tribunal berpuas hati tanpa keraguan munasabah untuk membuktikan China mengenakan langkah-langkah untuk mencegah kelahiran yang bertujuan memusnahkan sebahagian besar etnik Uighur di Xinjiang,” katanya.
Tribunal itu ditubuhkan sejak September tahun lalu dengan bantuan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan mengenai Tindak Balas Pembunuhan Beramai-Ramai bagi menyiasat ‘kekejaman berterusan dan kemungkinan berlaku lagi pembunuhan’ terhadap etnik Uighur, Kazakhstan dan populasi Islam Turki lain.
Tribunal itu sangat diperlukan susulan wujud banyak sekatan bagi melancarkan siasatan mengenai dakwaan penindasan hak asasi manusia terhadap China di mahkamah.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang berpangkalan di Hague mengumumkan Disember lalu, tidak akan melancarkan siasatan kerana China bukan negara anggota mahkamah itu.
Bahkan, Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang merupakan mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya boleh mengambil kes yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB.
Sedangkan dalam masa sama, China juga mempunyai kuasa veto dalam majlis tersebut.
Disebabkan itu, penasihat Kongres Uighur Dunia, Luke de Pulford menggesa masyarakat sivil bangkit mewujudkan mahkamah iaitu Tribunal Uighur.
“Tribunal menjalankan penilaian meluas dan komprehensif mengenai bukti krisis Uighur di semua peringkat termasuk pihak kerajaan,” ujarnya.
TRIBUNAL GESA SEKATAN TERHADAP CHINA
Dalam pada itu, Nice QC yang merupakan peguam hak asasi manusia terkemuka berkata, pihak tribunal tidak mempunyai sokongan kerajaan dan kuasa untuk menghukum atau menyekat China.
Namun, pakar percaya laporan itu sekurang-kurangnya dapat membantu menggesa kerajaan di seluruh dunia mengheret China bertanggungjawab terhadap setiap dosa penindasan yang dilakukan.
Pengarah Human Right Watch China, Sophie Richardson menjelaskan antara ‘fungsi kritikal’ tribunal adalah membekalkan platform kepada pelarian yang terselamat.
“Tribunal menyediakan ruang bagi masyarakat tertindas membongkarkan kepada dunia mengenai apa yang terjadi serta meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap jenayah kemanusiaan yang masih berlaku,” katanya.
Lebih 30 saksi termasuk pelarian Uighur, peguam dan ahli akademik tampil ke hadapan dan memberikan bukti menerusi tiga sesi perbicaraan sepanjang tahun lalu.
Testimoni melibatkan beberapa mangsa yang dipukul, ditindas dan dirogol di pusat tahanan di Xinjiang yang menempatkan jutaan etnik Uighur serta etnik Islam lain.
Tribunal Uighur menggesa kerajaan UK mengambil pelbagai langkah seperti mengenakan sekatan tambahan terhadap China dan meletakkan kawalan import pada produk berkaitan perhambaan buruh Uighur.
Kerajaan China langsung tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan tribunal supaya mengambil bahagian dalam prosiding berkenaan.
Sebaliknya, China mengenakan sekatan terhadap tribunal dan penganjurnya kerana kononnya menyebarkan ‘pembohongan dan penyelewengan’ tentang negara itu.