NEW DELHI: Dua orang maut selepas sebuah bangunan tiga tingkat runtuh di kampung Khawaspur, Gurgaon di utara India.
Lapor Indian Express, pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan seorang mangsa dalam kejadian tersebut.
Menurut pegawai, pasukan penyelamat sedang berusaha mencari seorang lagi individu yang dipercayai terperangkap di bawah serpihan runtuhan bangunan itu.
“Kami hanya menyelamatkan seorang mangsa dan menemukan dua mayat semasa operasi dijalankan sepanjang malam.
“Berdasarkan maklumat diterima, seorang lagi mangsa terperangkap dibawah runtuhan bangunan itu. Kami akan mencari individu keempat itu,” kata pegawai bomba, Gulshan Kalra.
Jelas beliau, pasukannya juga masih membersihkan serpihan runtuhan bangunan tersebut.
Bangunan tiga tingkat yang terletak di jalan Pataudi dilaporkan runtuh kira-kira pada pukul 7 malam.
Beberapa pegawai memberitahu bangunan kediaman pekerja itu terletak di Syarikat Cargo Deluxe.
Setakat ini, punca runtuhan masih belum dikenal pasti. – AGENSI