NEW DELHI: Tiga anggota polis Myanmar berpaling tadah dengan melarikan diri ke negeri Mizoram di India bagi mendapatkan perlindungan suaka kerana tidak mahu terlibat dalam rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera negara itu.
Jurucakap polis daerah Serchip di Mizoram, Stephen Lalrinawma memberitahu, ketiga-tiga anggota polis itu memasuki sempadan India berhampiran pekan Vanlaiphai Utara tengah hari semalam.
Katanya, keadaan mereka kini dipantau oleh pasukan perubatan.
“Tiga anggota polis itu memberitahu mereka ‘tidak mampu melaksanakan’ arahan yang dikeluarkan oleh junta tentera terhadap penunjuk perasaan dan itu menjadi punca mereka melarikan diri.
“Mereka ingin mendapatkan perlindungan di sini kerana tidak tahan dengan pentadbiran ketenteraan di Myanmar,” katanya.
India berkongsi 1,643 kilometer kawasan sempadan darat dengan Myanmar dan beberapa siri tunjuk perasaan di negara itu sudah meragut lebih 50 nyawa sejak 1 Februari lalu. – REUTERS