Calon presiden Indonesia sertai debat kempen Pemilu 2024

Calon presiden Indonesia sertai debat pertama kempen Pemilu 2024

TIGA calon presiden Indonesia mengambil bahagian dalam debat pertama kempen menjelang Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024. - CNA 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Tiga calon presiden Indonesia menyertai debat pertama kempen menjelang Pilihan Raya Umum (Pemilu) yang akan berlangsung pada 14 Februari depan. 

Dalam debat diadakan malam kelmarin, ketiga-tiga calon itu saling membuat janji mengenai dasar, menggembar-gemburkan pencapaian masing-masing, selain menyerang sesama atas kesilapan dan kontroversi masa lalu yang didakwa pesaing mereka.

Pada debat pertama itu, semua calon presiden dan pasangan calon naib presiden iaitu Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar, Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka serta Ganjar Pranowo dan Mahfud MD cuba memikat pengundi dengan menabur janji mengenai pembaharuan akan dilakukan sekiranya menjadi pemimpin Indonesia seterusnya.

Topik debat pertama membabitkan undang-undang, hak asasi manusia, pembasmian rasuah, tadbir urus dan menambah baik perkhidmatan awam, memperkukuhkan lagi demokrasi, menangani maklumat palsu dan mengendalikan keharmonian sivik.

Setiap calon presiden diberi masa beberapa minit untuk membentangkan visi dan idea dasar mereka, diikuti dengan satu segmen yang mana calon melontarkan soalan antara satu sama lain dan panel pakar termasuk ahli akademik.

Perdebatan itu menjadi semakin panas ketika masing-masing calon bertikam lidah mengenai tindakan atau kontroversi masa lalu membabitkan jawatan dipegang sebelum ini.

Malah, ada kalanya, calon turut menempelak dengan nada mengejek sehingga mengundang sorakan gemuruh penonton.

Misalnya, Anies yang merupakan bekas Gabenor Jakarta bertanya soalan pada Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto mengenai kepentingan etika.

Soalan itu secara tidak langsung merujuk kepada pasangan calon naib presiden Prabowo iaitu Gibran yang merupakan anak Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Gibran, 36, layak menyertai pilihan raya walaupun belum berusia 40 tahun, susulan keputusan mahkamah yang membenarkan sesiapa sahaja yang mempunyai jawatan di peringkat wilayah untuk bertanding pada pilihan raya 2024 tanpa mengira usia.

Keputusan mahkamah itu mencetuskan kemarahan dalam sistem demokrasi Indonesia dengan para pengkritik menyelar integriti badan kehakiman itu, apatah lagi Ketua Hakim Negara merupakan abang ipar Jokowi.

Bulan lalu, sebuah panel etika Mahkamah Perlembagaan menyifatkan keputusan itu tidak beretika.

Ketika ditanya mengenai keputusan panel memutuskan tindakan itu tidak beretika, Prabowo berkata, pakar undang-undangnya menasihatkan bahawa ia tiada masalah.  

“Biar rakyat menentukannya, jika mereka tidak suka gandingan Prabowo-Gibran maka tidak perlu mengundi kami. Saya tidak takut jika tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan.

“Saya bersedia mengorbankan nyawa saya untuk negara ini,” katanya dengan nada suara tinggi sehingga mengundang sorakan gemuruh penonton.

Bagaimanapun, Anies tidak berpuas hati dengan kenyataan Prabowo dan menegaskan sekiranya individu perlu mempunyai pengaruh untuk mendapatkan jawatan tertentu, maka ia menghalang meritokrasi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya