MATARAM: Gabenor Nusa Tenggara Barat, Zulkieflimansyah optimis dengan pembinaan Litar Mandalika bagi menjadi tuan rumah penganjuran perlumbaan Formula 1 (F1).
Lapor Kompas.com, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan wakil F1, Gerwin Beran berhubung pembinaan litar yang mempunyai laluan sepanjang 4.3 kilometer serta 17 selekoh.
“Perbincangan yang sangat baik dan pihak mereka gembira dengan Litar Mandalika yang sesuai untuk F1.
“Pihak F1 turut memberikan pandangan kepada pihak kerajaan untuk menambah bilangan hotel terkemuka di wilayah ini.
“Ini termasuk menaik taraf kemudahan penginapan dengan penggredan hotel lima bintang dan ke atas,” katanya.
Litar Mandalika dipilih menjadi tuan rumah perlumbaan antarabangsa MotoGP 2022 yang akan berlangsung 18 hingga 20 Mac depan.
Pelumba MotoGP turut menjalankan sesi percubaan awal di litar tersebut pada 11 hingga 13 Februari lalu.
Litar Mandalika dibina di Zon Ekonomi Khas Mandalika, Lombok Tengah.
Sebelum ini, pembinaan litar tersebut mencetuskan pelbagai isu sebelum acara perlumbaan kejohanan dunia berlangsung.
Berhampiran Litar Mandalika terdapat sebuah perkampungan kecil yang kebanyakan penduduknya berasa terganggu dengan bunyi bising.
Penduduk di situ merupakan warga Dusun Bunut, Desa Kuta, Lombok Tengah dan suara ekzos motor lumba paling kuat didengari ketika pelumba melalui selekoh lima hingga lapan.
Difahamkan, seramai 48 keluarga tinggal di tengah litar tersebut dan pencemaran bunyi itu menyebabkan waktu tidur mereka terganggu terutamanya anak kecil.