MANDALIKA: Satu keluarga terdiri daripada pasangan suami isteri, seorang anak dan seorang jiran mereka yang berasal dari Jakarta ditahan polis kerana menyeluk saku semasa pertandingan perlumbaaan Superbike Dunia (WSBK), di sini baru-baru ini.
Menurut polis, keluarga tersebut sanggup menaiki penerbangan dari Jakarta ke Lombok hanya untuk melakukan jenayah tersebut, selain turut membeli tiket untuk menyaksikan pertandingan itu.
Sindiket penyeluk saku itu memulakan aksi mereka ketika orang ramai sedang leka menyaksikan perlumbaan terbabit.
Perbuatan mereka terbongkar selepas seorang daripada ahli kumpulan itu ditangkap di Pintu 3 di litar berkenaan, manakala tiga yang lain ditahan di Pelabuhan Lembar.
Polis turut menahan empat lagi suspek yang didakwa terlibat dalam jenayah tersebut.
Jurucakap polis, Hari Brata berkata, keluarga penyeluk saku itu menyasarkan beg tangan wanita yang terbuka dengan setiap seorang daripada mereka mempunyai peranan masing-masing.
“Si isteri akan melakukan seluk saku, jirannya bertindak membawa beg berisi barangan yang dicuri, anak menjadi tukang alih perhatian dan suaminya pula bertindak sebagai pengumpul barangan.
“Sindiket penyeluk saku ini juga sering melakukan jenayah itu sehingga ke luar negara, termasuk Singapura dan Malaysia,” katanya.
Kumpulan itu turut ‘menjemput’ sindiket penyeluk saku dari luar negara, iaitu dari Malaysia, Turki, Thailand, Macau dan Nepal untuk bersama-sama melakukan jenayah itu semasa pertandingan tersebut dan sering menjadikan temasya antarabangsa sebagai sasaran.
Selain itu, mereka juga mempunyai jaringan dalam negeri iaitu di Jakarta, Makassar, Palembang, Bali dan Surabaya.