LAMPUNG: Seorang wanita di Kampung Sri Kencono, Lampung Tengah ditahan polis kerana didakwa mencuri lembu yang dibela suaminya.
Jurucakap polis, Eko Heri Susanto berkata, suspek melakukan perbuatan itu hanya kerana inginmembeli produk penjagaan kulit dan melangsaikan hutang.
Katanya, lembu yang dicuri suspek adalah milik seorang lelaki bernama Suharto, namun suaminya diupah untuk menjaga haiwan berkenaan.
“Kejadian berlaku ketika suspek bersama suami dan anaknya pergi ke rumah saudara mereka sebelum suspek memberitahu suaminya dia mahu keluar sekejap untuk membeli sayuran di pasar.
“Namun, suspek sebenarnya keluar untuk bertemu dengan rakan subahatnya untuk mencuri lembu tersebut,” jelas Eko.
Selepas suspek dan rakan subahatnya mencuri lembu itu, suspek kembali ke rumah saudaranya dan memaklumkan kepada suaminya bahawa haiwan tersebut hilang.
Suami suspek kemudiannya membuat laporan polis mengenai kehilangan tersebut dan hasil siasatan isterinya merupakan dalang kejadian.
Suspek memperoleh keuntungan sebanyak empat juta rupiah (RM1,164) hasil menjual lembu tersebut dan melunaskan hutangnya berjumlah 3.5 juta rupiah (RM1,019).
Baki selebihnya pula digunakan suspek untuk membeli produk penjagaan kulit yang diingininya.