MANILA: Terlajak landasan didakwa menjadi punca sebuah pesawat tentera terbabas dan terhempas ketika cuba mendarat di selatan Filipina semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi waktu tempatan di pulau Jolo, wilayah Sulu itu menyebabkan sekurang-kurangnya 47 maut, selain badan pesawat terputus dua.
Tiga penduduk awam turut maut dalam insiden tersebut selepas terkena serpihan pesawat ketika ia terhempas.
Semua mangsa cedera sudah diselamatkan dari bangkai pesawat C-130 yang terbakar dan dibawa ke hospital berhampiran.
Menurut jurucakap tentera, Cirilito Sobejana berkata, pesawat itu membawa pasukan tentera dari Cagayan de Oro, Mindanao menuju ke Jolo.
“Pesawat yang membawa pasukan tentera itu didakwa terlepas landasan ketika cuba mendarat sebelum terhempas.
“Pasukan penyelamat sudah dikerah ke lokasi kejadian dan diharap kami temukan banyak mangsa terselamat,” katanya.
Kebanyakan penumpang pesawat tersebut merupakan anggota tentera yang baru tamat pengajian dalam akademi penerbangan dan bakal ditempatkan di Jolo.
Pesawat C-130 sering digunakan untuk memindahkan pasukan tentera serta kelengkapan, selain sering berkhidmat membawa bantuan kemanusiaan.
Nahas itu berlaku selepas helikopter Black Hawk terhempas pada bulan lalu ketika menjalani latihan, menyebabkan kesemua enam penumpang maut. – AFP