SURABAYA: Baru-baru ini, tular gambar dalam media sosial menunjukkan unit kecemasan di sebuah hospital di sini dipenuhi dengan jenazah pesakit Covid-19.
Berdasarkan gambar tersebut, insiden itu berlaku di Hospital Dr. Soetomo di Surabaya, Jawa Timur.
Pengarah hospital tersebut, Dr. Joni Wahyuhadi mengesahkan gambar itu dan memaklumkan sebanyak 27 pesakit meninggal dunia pada Rabu lalu.
“Gambar itu memang berlaku di hospital kami, sebanyak 27 pesakit meninggal dunia akibat Covid-19 dan ada dalam kalangan mereka baru sahaja datang ke unit kecemasan.
“Ada juga pesakit meninggal dunia dalam ambulans dan keadaan itu membuat seluruh jabatan kecemasan kelam kabut untuk menguruskan jenazah,” katanya kepada Tribunnews.
Jelas Joni, kebanyakan pesakit yang datang unit kecemasan berada dalam keadaan kritikal dan tidak sempat untuk memberi rawatan lanjut.
Katanya, jumlah kematian sebanyak itu tidak pernah berlaku dalam tempoh sehari sebelum ini dan secara tidak langsung menunjukkan kes jangkitan Covid-19 di Indonesia amat parah.