BANGKOK: Lebih 10 juta penduduk dikenakan sekatan Covid-19 yang lebih ketat, termasuk perintah berkurung di Bangkok hari ini selepas kes jangkitan Covid-19 di Thailand semakin kritikal.
Thailand ketika ini merekodkan lebih 326,300 kes jangkitan dan 2,711 kematian.
Pos kawalan polis ditambah di sekitar Bangkok pada awal pagi ini selepas perintah berkurung dari pukul 9 malam hingga 4 pagi berkuat kuasa hari ini.
Penduduk tidak dibenarkan berkumpul melebihi lima orang, manakala sistem pengangkutan awam akan berhenti operasi pada pukul 9 malam sepanjang sekatan dilaksanakan.
Pasar raya, restoran, bank, farmasi dan kedai elektronik sahaja yang dibenarkan beroperasi.
Dalam pada itu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Prayut Chan-o-Cha berdepan dengan kritikan hebat daripada rakyat yang menyifatkannya sebagai culas dalam menangani krisis Covid-19.
“Kerajaan laksanakan perintah berkurung dan pelbagai sekatan, namun mereka tidak tolong rakyat yang terkesan akibat pendekatan terbabit,” kata pemilik restoran, Arphawan Larangam.
Ada juga penduduk yang berpendapat, perintah berkurung ini sepatutnya sudah dilaksanakan lebih awal sebelum kes jangkitan sukar dikawal.
“Apa yang kerajaan lakukan ketika ini sangat perlahan, sepatutnya sudah lama (perintah berkurung) dilaksanakan,” ujar pelajar universiti, Jit. – AFP