AMBON: Badan Meteorologi, Iklim dan Geofizik (BMKG) Ambon menyatakan berlaku tsunami kecil selepas gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter menggegar Maluku Tengah semalam.
Lapor Kompas.com, Ketua BMKG Ambon, Herlambang Hudha berkata, tsunami itu berlaku di Tehoru, beberapa saat selepas gempa berlaku.
“Selepas gempa berlaku, tsunami kecil terbentuk dan melanda Tehoru. Semuanya berlaku sangat cepat,” katanya.
Jelas Herlambang, tsunami itu berlaku akibat pergerakan tanah di bawah laut di Tehoru.
Katanya, tsunami kecil itu mencapai ketinggian 0.5 meter.
“Seharusnya tiada tsunami berlaku kerana gempa tersebut pada ukuran sederhana, namun disebabkan pergerakan tanah bawah laut, maka tsunami kecil melanda Tehoru,” ujarnya.
Sementara itu, keadaan dijamin sudah reda dan pihak berkuasa memeriksa sejumlah rumah penduduk yang rosak akibat gempa tersebut.