MALANG: Seorang lelaki didakwa menikam isteri pertamanya di sebuah rumah di Lowokwaru, Malang, Jawa Timur semalam kira-kira pukul 3 peatng waktu tempatan.
Menurut sumber, insiden itu dipercayai berlaku selepas suspek yang berusia 40 tahun dan isterinya pertamanya berebut hak penjagaan anak mereka.
Seorang penduduk di kawasan tersebut, Rian Dwi Novitasari memaklumkan, lokasi kejadian merupakan rumah milik isteri kedua suspek yang dikahwininya secara rahsia dan belum didaftarkan dengan jabatan perkahwinan Indonesia.
“Ketika kejadian, isteri pertama suspek datang ke rumah tersebut dengan menaiki motor sebelum pertengkaran bermula, kebetulan anak lelaki mereka berusia empat tahun ada di lokasi kejadian.
“Mangsa dan suspek bertengkar sehingga suspek mengambil pisau di dapur dan menikam isteri pertamanya,” katanya kepada Kompas.com.
Jelas Dwi, dia dan jiran tetangga mengetahui mengenai kejadian itu selepas isteri kedua suspek meminta tolong untuk membawa madunya ke hospital akibat cedera ditikam.
Seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Arwan Widianto berkata, mangsa ditikam pada bahagian dada.
Selepas kejadian itu, suspek cuba melarikan diri namun ditangkap penduduk setempat dan diserahkan kepada polis.