YANGON: Penunjuk perasaan yang cedera ditembak pasukan keselamatan Myanmar ketika menyertai siri demonstrasi menolak untuk menerima rawatan di hospital kendalian tentera kerana bimbang ditangkap oleh junta.
Lebih 800 orang terbunuh dan ribuan cedera sejak rampasan kuasa oleh junta tentera berlaku di negara ini pada Februari lalu.
Seorang penunjuk perasaan, Maung Win Myo, 24, tidak dapat lagi bekerja sebagai pemandu tuk tuk selepas cedera ditembak pada bahagian kaki.
Dia yang enggan mendapatkan rawatan di hospital tentera terpaksa menanggung kesakitan.
“Saya tidak mampu mendapatkan rawatan di hospital swasta dan saya juga enggan dirawat di hospital tentera kerana khuatir ditangkap,” katanya.
Hospital tentera kebiasaannya tidak dibuka untuk penduduk awam, namun junta terpaksa meluaskan operasi selepas banyak doktor meletak jawatan akibat rampasan kuasa yang berlaku.
Ketua Mission of Medecins Sans Frontieres (MSF) di Myanmar, Marjan Besuijen berkata, banyak petugas perubatan di hospital swasta memberi rawatan percuma kepada penunjuk perasaan yang cedera.
Namun, tidak semua dapat dirawat secara percuma susulan kos ubat-ubatan yang mahal.
“MSF juga bantu merawat penunjuk perasaan yang cedera sebelum junta tentera memusnahkan bekalan ubat-ubatan kami,” ujarnya. – AFP