JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) berharap sekurang-kurangnya 7.5 juta penduduk di Jakarta sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 menjelang akhir Ogos ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya program vaksinasi di bandar raya ini dilakukan secara menyeluruh dengan kadar segera.
“Saya sudah maklumkan kepada Gabenor Jakarta bahawa hujung Ogos ini, kita sasar seramai 7.5 juta penduduk Jakarta sudah terima suntikan vaksin,” katanya.
Tegas Jokowi, biarpun angka itu besar, namun perlu dicapai segera bagi membentuk imuniti berkelompok di Jakarta yang mempunyai kira-kira 10.5 juta penduduk.
Dengan lebih dua juta kes jangkitan, Indonesia kini berdepan dengan gelombang baharu Covid-19 selepas jumlah kes meningkat mendadak selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.
Dalam pada itu, beberapa pakar berpendapat, adalah tidak mustahil untuk memberi vaksin kepada 7.5 juta penduduk Jakarta menjelang akhir Ogos ini kerana bandar raya ini mempunyai infrastruktur dan bekalan vaksin yang mencukupi.
Namun, mereka berpandangan, usaha itu tidak akan membentuk imuniti berkelompok.
Bekas Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi Pejabat Rantau Asia Tenggara, Prof. Tjandra Yoga Aditama, berkata, untuk membentuk imuniti berkelompok, sejumlah masa diperlukan bagi menghasilkan antibodi selepas vaksin.
Katanya, tahap keberkesanan vaksin dalam mengharungi pelbagai varian baharu Covid-19 juga menjadi antara kekangan yang menunjukkan usaha membentuk imuniti berkelompok bukan kerja mudah.
“Sekurang-kurangnya lima faktor memainkan peranan penting untuk capai imuniti berkelompok iaitu bekalan mencukupi, infrastruktur, keraguan mengenai vaksin, kemudahan mendapatkan vaksin dan komunikasi awam.
“Dari segi bekalan, Indonesia tidak mempunyai masalah, namun masih ada rakyat yang kurang yakin dengan fungsi vaksin, selain perlu menjadikan semua klinik kesihatan sebagai pusat pemberian vaksin, jadi tidak perlu bergantung kepada stadium dan pusat beli-belah,” ujarnya.
Indonesia ketika ini sudah memberikan 104.7 juta vaksin dengan majoritinya menggunakan vaksin keluaran Sinovac, diikuti AstraZeneca dan Sinopharm.
Sehingga 21 Jun ini, sekurang-kurangnya 3.5 juta penduduk di Jakarta sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19, manakala 1.8 juta lagi sudah melengkapkan dos. – AGENSI