JAKARTA: Kerajaan Indonesia akan menunggu sehingga kes jangkitan Covid-19 menurun secara signifikan sebelum membuka pintu Bali kepada pelancong asing.
Menteri Pelancongan dan Ekonomi Budaya, Sandiaga Uno berkata, Bali mungkin dibuka pada hujung Julai atau awal Ogos.
Katanya, keadaan itu perlu diteliti berdasarkan situasi semasa jangkitan Covid-19.
“Indonesia kini berdepan dengan jangkitan yang mendadak dan kita perlu tunggu sehingga masa yang sesuai untuk buka Bali kepada pelancong asing,” katanya.
Kes jangkitan koronavirus di negara ini terus memuncak sejak beberapa minggu lalu, termasuk di Bali dengan sebanyak 200 kes sehari.
Sebelum ini, kes jangkitan harian di pulau peranginan terkenal itu hanya 30 hingga 40 kes sehari. – REUTERS