JAKARTA: Seorang anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) dilaporkan menampar seorang pekerja stesen minyak selepas dia diminta beratur untuk mengisi minyak motornya.
Lapor Kompas.com, kejadian itu berlaku di daerah Sikka, Nusa Tenggara Timur (NTT).
Berdasarkan video yang tular, anggota tentera itu dilihat menampar muka pekerja tersebut sebelum pekerja itu meminta maaf kepadanya.
Jurucakap TNI, Zulnaendra Utama menyifatkan insiden itu berlaku akibat salah faham.
“Ketika kejadian, suspek pergi stesen minyak tersebut untuk mengisi minyak motornya.
“melihat barisan yang panjang, suspek pergi ke depan sebelum diarahkan oleh pekerja berkenaan supaya beratur dan berlaku pertengkaran antara mereka,” katanya.
Jelas Zulnaendra, kebiasaannya polis dan tentera diberi keutamaan untuk mengisi minyak jika sedang bertugas, namun berlaku salah faham sehingga insiden itu berlaku.
Tegas beliau, kes tersebut sudah pun diselesaikan dan kedua-duanya sudah berdamai.
Video tersebut menjadi tular dan kebanyakan warganet mengecam tindakan anggota tentera tersebut.