Citarum terus ‘busuk’ atau dipulihara - Utusan Malaysia

Citarum terus ‘busuk’ atau dipulihara

SEORANG lelaki mengayuh sampan mengutip plastik kitar semula di Sungai Citarum yang tercemar di Bandung, Indonesia. Sungai Citarum merupakan antara sungai tercemar di dunia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Projek memulihara dan membersihkan Sungai Ci­tarum di Jawa Barat diteruskan biarpun pandemik Covid-19 belum reda.

Jakarta Post melaporkan, su­ngai terkotor di Indonesia sepanjang 270 kilometer itu menjadi sumber utama bekalan air kepada penduduk serta sektor industri di Jakarta dan Jawa Barat.

Sungai itu juga punca kuasa kepada tiga loji hidro elektrik yang boleh menjana kuasa sehingga 1,400 megawatt.

Kempen memulihara Ci­tarum dimulakan Presiden Joko Widodo (Jokowi) pada 2018 dan diketuai Gabenor Jawa Barat, selain melibatkan kerajaan pusat, pentadbiran tempatan, pasukan polis serta tentera.

Kempen bertujuan mengawal dan menghentikan pencemaran di sungai tersebut dan kerajaan memberi jangka masa selama tujuh tahun memulihkan Ci­tarum menjelang 2025.

Sebanyak 13 program ditetapkan termasuk memulihkan lembangan sungai, kaedah memproses sisa buangan, pe­nguatkuasaan undang-undang dan pendidikan meningkatkan kesedaran mengenai kebersihan sungai.

Setiausaha Jawa Barat, Setiawan Wangsaatmadja berkata, program tersebut giat dilakukan biarpun Covid-19 melanda Indonesia sejak Mac lalu, selain pandemik itu menyebabkan dana yang diperuntukkan bagi pemulihan Citarum turut terjejas.

“Pelan tindakan dibuat sebelum Covid-19 menular dan mahu atau tidak, kami perlu meneliti semula kempen dan program yang dijalankan.

“Kami memperuntukkan 5.6 trilion rupiah (RM1.6 bilion) memulihara Citarum pada tahun ini namun hanya tujuh hingga 10 peratus wang yang tinggal untuk program tersebut,” katanya.

Data awal menunjukkan kualiti air Citarum semakin baik susulan pengurangan aktiviti kilang akibat Covid-19 serta musim hujan.

Dalam pada itu, pentadbiran Jawa Barat mengenakan denda terhadap sekurang-kurangnya 210 daripada 468 syarikat yang didakwa menyebabkan pencemaran Citarum.

Kerajaan pusat menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan turut mengheret beberapa syarikat ke mahkamah atas dakwaan mencemarkan Citarum termasuk PT How Are You Indonesia (HAYI) iaitu syarikat yang berpangkalan di Cimahi, Jawa Barat.

Pada Februari lalu, Mahkamah Daerah Jakarta Uta­ra mendapati HAYI bersalah mencemarkan Citarum dan memerintahkan syarikat itu membayar denda berjumlah 12 bilion rupiah (RM3.4 juta).

Beberapa syarikat lain yang didakwa termasuk Industri Teks­til Kamarga Kurnia, Kawi Mekar dan United Colour Indonesia.

Sementara itu Institut Sains Indonesia merancang untuk melancarkan siri penyelidikan bebas mengenai Citarum, namun terpaksa ditangguhkan sehingga 2021 susulan Covid-19.

“Kami bercadang memba­ngunkan sistem sokongan me­ngenal pasti masalah sebenar di Citarum. Kami akan me­ngukur berapa banyak sampah memasuki Citarum dan faktor cuaca, selain membangunkan loji rawatan sisa buangan dari sektor perniagaan kecil dan agrikultur,” kata jurucakap institut tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya