GAZA: Israel mengemukakan cadangan jeda perang selama dua bulan bagi membolehkan pembebasan 138 warganya yang ditahan oleh Hamas.
Menurut laporan laman berita AS Axios, Israel menawarkan untuk menghentikan pertempuran kepada Hamas melalui pengantara Qatar dan Mesir yang menyaksikan pembebasan tebusan secara berperingkat.
Laporan memetik pegawai Israel yang tidak dinamakan berkata, perjanjian itu akan berlangsung dalam beberapa fasa dengan yang pertama akan menyaksikan pembebasan wanita, lelaki berusia lebih 60 tahun dan mereka yang berada dalam keadaan perubatan kritikal.
Fasa seterusnya akan melibatkan pembebasan tentera wanita, lelaki awam yang lebih muda, tentera lelaki dan mayat tebusan yang maut.
Para pegawai berkata, perjanjian itu juga akan menyaksikan pembebasan sejumlah tahanan Palestin yang ditahan di Israel, tetapi bukan secara menyeluruh.
Cadangan itu tidak termasuk janji untuk menamatkan perang, tetapi akan melibatkan arahan tentera Israel mengurangkan kehadiran mereka di bandar-bandar utama di Gaza dan secara beransur-ansur membenarkan penduduk kembali ke wilayah utara yang musnah.
Para pegawai berkata, perjanjian itu dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan untuk dilaksanakan.
Saluran Israel Ynet juga melaporkan cadangan itu, memetik sumber yang tidak dinamakan dan berkata, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sudah merujuknya dalam pertemuan dengan keluarga tebusan kelmarin.
Berita mengenai cadangan itu hadir ketika media Amerika Syarikat (AS) berkata, penyelaras White House untuk Asia Barat, Brett McGurk akan berada di rantau itu untuk mesyuarat di Mesir dan Qatar bertujuan mendapatkan perjanjian pertukaran tebusan baharu.
Kira-kira 250 tebusan ditahan semasa serangan Hamas pada 7 Oktober lalu dan Israel berkata, kira-kira 132 orang masih berada di Gaza.
Jumlah tersebut termasuk mayat sekurang-kurangnya 28 tebusan yang maut.-AFP