RAMALLAH: Tentera Israel menembak mati dua penduduk Palestin dalam kejadian berasingan di sekitar Tebing Barat, kata Kementerian Kesihatan Palestin.
Menurut kementerian, Samer Khaled, 25, dari kem Al-Ain di Nablus maut akibat luka tembakan di leher manakala Yazan Afana, 26, dari kem Qalandia di luar Baitulmuqqadis, meninggal dunia selepas ditembak di bahagian dada.
Agensi berita rasmi Palestin, WAFA melaporkan Samer terbunuh apabila tentera Israel menyerbu kem pelarian Balata berhampiran Nablus, di utara Tebing Barat.
“Yazan pula terbunuh ketika tentera Israel melakukan serbuan di Al-Bireh, dekat Ramallah,” jelasnya dalam kenyataan.
Sementara itu, tentera Israel menerusi kenyataan, pasukannya menahan enam lelaki dikehendaki ketika operasi serbuan di seluruh Tebing Barat.
“Ketika operasi di Balata, pasukan tentera bertindak balas dengan melepaskan tembakan ke arah mereka.
“Ada yang menyatakan seorang penduduk Palestin meninggal dunia,” jelasnya.
Tentera zionis mendakwa pasukannya diserang dengan batu dan bom molotov sehingga mereka terpaksa membalas dengan menggunakan `peralatan untuk menyuraikan rusuhan’. – AFP