NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa semua pihak menghormati gencatan senjata yang sudah dipersetujui antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas pada 20 Mei lalu.
lapor agensi berita Xinhua, jurucakap Guterres dalam sidang akhbar berkata, Setiausaha Agung PBB itu prihatin terhadap kekerasan yang meningkat di Semenanjung Gaza.
Gutteres juga mahu melihat permusuhan dapat dihentikan dan memberi ruang kepada pihak yang berkenaan melakukan pelbagai usaha bagi menstabilkan keadaan.
Menurut kenyataan jurucakap tentera Israel semalam, pihaknya melakukan serangan udara pertama ke Semenanjung Gaza sejak gencatan senjata dilaksanakan pada Mei lalu.
Dalam serangan itu, jet pejuang tentera Zionis menyerang kawasan tentera milik Hamas di bandar Khan Yunis di selatan Gaza.
Kenyataan itu turut menuduh Hamas perlu bertanggungjawab terhadap semua yang berlaku di Gaza dan memberi amaran akan menanggung akibatnya.
“Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bersiap sedia untuk setiap senario, termasuk bertempur semula selain memberi amaran kepada Hamas untuk menanggung akibatnya,” menurut kenyataan itu.
Ratusan penduduk Yahudi menyertai perarakan ‘March Flags’ di bandar lama Baitulmaqdis semalam, sambil mengibarkan bendera Israel dan melaungkan kenyataan anti Arab sehingga mendapat bantahan daripada pemimpin dan penduduk Palestin.
Berikutan itu, kumpulan pejuang Hamas di Gaza bertindak balas dengan melancarkan belon api hingga menyebabkan sekurang-kurangnya 13 kebakaran di selatan Israel.