GAZA CITY: Serangan udara yang dilancarkan tentera Israel semalam menyaksikan sekurang-kurangnya 42 penduduk Palestin maut dan jumlah itu merupakan paling banyak dalam tempoh seminggu sejak pertempuran antara Zionis dan Hamas bermula.
Jet pejuang tentera Israel seperti ‘tiada belas kasihan’ terus mengebom Gaza secara bertubi-tubi sejak semalam hingga awal pagi ini, menyebabkan bekalan elektrik terputus.
Sehingga kini, seramai 197 penduduk Palestin maut, termasuk 58 kanak-kanak dan lebih 2,000 cedera.
Semalam, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk meneruskan serangan terhadap Gaza selagi ada keperluan sekiranya Hamas masih berdegil.